Kali terakhir status halal kilang bekal daging ayam China diperiksa 2016 - Asyraf Wajdi

Firdaus Azil
Disember 28, 2020 10:16 MYT
Pemuda UMNO turut terima maklumat Jabatan Pemeriksaan Veterinar (DVS) tidak pernah mengeluarkan permit import (AP) untuk produk ekor lembu, tegas Asyraf Wajdi Dusuki. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dua buah kilang China yang membekalkan daging ayam ke negara ini dipercayai kali terakhir diperiksa status halalnya pada Januari 2016, dakwa Pemuda UMNO Malaysia hari ini.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, selain itu, pihaknya menerima maklumat Jabatan Pemeriksaan Veterinar (DVS) tidak pernah mengeluarkan permit import (AP) untuk produk ekor lembu.
Namun begitu, kata beliau, produk itu begitu mudah dan banyak didapati di pasaran, khususnya yang diimport dari Argentina sehingga menimbulkan keraguan mengenai status halalnya selama ini.
“Apakah DVS dan JAKIM melakukan pemeriksaan secara berkala setiap tahun untuk memastikan status halal, kesihatan (pencegahan penyakit berjangkit daripada binatang) dan kebersihan kilang-kilang yang diberikan kelulusan status halalnya?
"Daripada maklumat yang Pemuda UMNO peroleh, kali terakhir dua kilang utama yang membekalkan daging ayam di China dibuat pemeriksaan adalah pada 20 Januari 2016 setelah mendapat pensijilan.
“Apakah benar DVS tidak pernah mengeluarkan sebarang Permit Import (AP) ekor lembu (Oxtail)?
"Justeru apakah status halal ekor lembu yang begitu banyak berada di pasaran tempatan yang dikatakan kebanyakannya diimport dari luar negara terutamanya dari Argentina?” soalnya lagi.
BACA: Tubuh pasukan khas jejaki dalang kartel daging import - Asyraf Wajdi
BACA: Isu Kartel Daging Haram: Kerajaan teliti SOP pensijilan halal minggu ini - Zulkifli
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini mengenai kewujudan kartel yang mengakibatkan daging import tidak halal mempunyai status halal JAKIM sehingga ia mudah dijual di pasaran negara ini.
Berhubung beberapa soalan dan isu yang dibangkitkan di atas, Asyraf berkata, kerajaan perlu segera menubuhkan pasukan khas melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
Ujarnya lagi, penubuhan itu penting bagi segera mendakwa dan mendedahkan individu-individu dan syarikat-syarikat yang terlibat.
“Kita minta juga supaya disiasat pegawai kerajaan dalam jabatan jabatan yang terbabit, termasuk juga pegawai tinggi kerajaan yang sudah bersara.
“Sebenarnya SPRM mempunyai kewibawaan yang kita percaya mereka boleh dengan mudah mengenalpasti gaya hidup yang berbeza, tidak setimpal dengan gaji yang diperolehi,” katanya lagi.
#Asyraf Wajdi Dusuki #Pemuda UMNO #PDRM #polis #Halal #daging halal #Ayam #daging #Polis Diraja Malaysia #Argentina #UMNO #JAKIM #SOP