KUALA LUMPUR:Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa pihak kerajaan menubuhkan sebuah pasukan khas melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan dalam industri halal bagi mengenal pasti dalang sindiket kartel daging yang mencetuskan kebimbangan ramai.

Beliau dalam satu kenyataan di akaun Facebook berkata kerajaan perlu menangani segera isu yang menimbulkan kebimbangan dan keraguan orang ramai ini.

“Kebimbangan dan keraguan orang ramai terhadap status halal dan kebersihan daging import halal yang berada di pasaran dengan pelbagai berita-berita sensasi termasuklah campur aduk antara daging halal dan haram mesti ditangani segera oleh pihak Kerajaan.

“Bagi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, isu seperti ini bukan kali pertama malah berulang kali timbul hingga menyerlahkan kekangan dan kelemahan ketara dalam isu penguatkuasaan dan kawal selia industri halal di negara ini," kata Asyraf Wajdi.

Tambahnya, ramai tidak menyedari kuasa pensijilan dan penguatkuasaan halal melibatkan pelbagai agensi.

“Ramai yang mungkin tidak menyedari bahawa kuasa pensijilan halal dan penguatkuasaan halal terletak di bawah bidang kuasa agensi-agensi yang berbeza.

“Kuasa pensijilan Halal ketika ini terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa JAKIM dan Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri, sedangkan penguatkuasaan pula di bawah pelbagai agensi termasuklah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNHEP), Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Dalam isu mengawal selia urusan import bekalan daging ke Malaysia pula bukan hanya terletak di bawah kuasa mutlak JAKIM, malah pelbagai agensi lain yang membabitkan beberapa peringkat.

“Ia termasuklah Jabatan Perkhidmatan Vaterinar (DVS), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Polis Pelabuhan,” ujarnya lagi.

Asyraf turut mencadangkan agar nama-nama syarikat yang sedang disiasat dan disyaki terbabit dengan penipuan sijil dan percampuran daging halal haram didedahkan selain tindakan menarik semula bekalan daging yang telah memasuki pasaran dalam tempoh dua minggu kebelakangan.

Selain itu, beliau turut mencadangkan penubuhan satu pasukan khas melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan dalam industri halal bagi mengenal pasti dalang sindiket kartel yang bertanggungjawab dan tindakan tegas diambil tanpa kompromi.

Cadangan lain yang turut diutarakan beliau adalah menilai kembali kapasiti kakitangan persijilan halal, melakukan penambahan segera kakitangan pengawal seliaan halal di JAKIM dan di Jabatan Agama Islam negeri, serta memperkasakan kembali Majlis Halal Malaysia.

Tambahnya, keenam-enam cadangan di atas wajar diambil tindakan segera oleh kerajaan bagi memastikan keyakinan terhadap logo Halal Malaysia tidak terjejas.

BACA: Gantung AP jika bersekongkol dengan kartel daging import haram palsu label halal

BACA: KPDNHEP siasat isu kartel daging di bawah dua kesalahan cap dagangan