SHAH ALAM : Beberapa siri bantahan secara besar-besaran bakal diadakan sekiranya isu penggunaan kalimah Allah tidak diatasi dengan sebaiknya oleh kerajaan, kata Presiden Ummah Malaysia, Mohd Zai Mustafa.

Beliau berkata, pihaknya memberi tempoh kepada kerajaan untuk menyelesaikan isu berkenaan secara proaktif.

"Kebimbangan kita adalah sekiranya ia (kalimah Allah) digunakan oleh orang bukan Islam bukan pada tempatnya maka dia akan timbulkan fitnah dan salah faham dan wujudkan perbalahan antara agama dan kaum.

"Pemeliharaan kalimah Allah ini sangat penting dan kita mohon kepada Majlis Raja-Raja Melayu untuk bersidang secepat mungkin untuk ambil alih tanggungjawab ini daripada pihak politik.

"Kita memberi tempoh tertentu kepada kerajaan sekiranya kerajaan masih tidak bertindak secara positif kita akan adakan 'roadshow' (siri bantahan) besar sama seperti penganjuran bantahan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri demonstrasi membantah penarikan rayuan kes kalimah Allah di Masjid Negeri Selangor pada Jumaat.

Menurutnya lagi, bantahan yang berlangsung selepas solat Jumaat ini turut diadakan di seluruh negara antaranya di Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Beliau dalam masa sama berharap agar kerajan dapat meneruskan semula rayuan kes berkenaan.

"Kita mohon untuk teruskan semula perbicaraan dan kita mengharapkan agar ia memihak kepada keputusan yang asal yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

"Banyak implikasi kerana kalimah Allah ini akan ada di mana-mana jadi di situ sudah seperti tiada perbezaan.

"Apa yang paling kita bimbang, timbul isu rasis dan penghinaan di luar jangkaan kita," katanya lagi.

Sebelum itu, kira-kira 100 orang berhimpun di perkarangan Masjid Negeri Selangor bagi menzahirkan bantahan berkenaan selepas solat Jumaat.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan keputusan Kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai penggunaan kalimah Allah, baitullah, solat dan Kaabah disebabkan berlaku percanggahan arahan pentadbiran KDN dan Kabinet pada tahun 1986.

Kerajaan dan KDN pada Selasa menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, baitullah, kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman berkenaan difailkan Pejabat Peguam Negara pada 18 April lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu.

Selain perkataan Allah, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah baitullah, kaabah dan solat.