KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan mengkaji untuk meminda atau membatalkan semua undang-undang yang bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu berhubung penggunaan kalimah Allah amat bertepatan, kata Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Bercakap kepada Astro AWANI, Mohamed Nazri menjelaskan keputusan kerajaan itu akan memuktamadkan isu terbabit yang telah berlarutan sekian lama.

Tegas beliau, isu ini telah cuba dinoktahkan sebelum ini namun akibat kedegilan pihak-pihak tertentu ianya berlarutan hingga ke hari ini.

"Pada saya keputusan kerajaan seperti yang diumumkan oleh Datuk Seri Anwar amat wajar kerana ia peluang dan ruang terbaik untuk memuktamadkan isu ini.

"Isu ini telah berlarutan sekian lama dan telah banyak kali usaha untuk menyelesaikannya namun tidak menemui penghujung.

“Ketika memegang portfolio undang-undang pada 2008, saya telah berusaha menyelesaikan isu ini namun tiada sebarang keputusan dapat dicapai akibat kedegilan sesetengah pihak.

“Justeru pada saya, apa yang diperkatakan oleh perdana menteri dalam Dewan Rakyat semalam akan memuktamadkan isu ini,” katanya.

Mohamed Nazri menjelaskan kekeliruan dua keputusan kabinet pada 1986 dan kes mahkamah Jill Ireland berhubung isu tersebut menyebabkan Jabatan Negara Amerika Syarikat mengaitkan Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak membenarkan kebebasan beragama.

Katanya laporan itu memberikan gambaran Malaysia tidak membenarkan kebebasan beragama namun pada hakikatnya umat Islam di Malaysia adalah paling bertoleransi berbanding pihak lain.

Mohamed Nazri juga menegaskan, pihak-pihak yang berkeras mahu menggunakan kalimah Allah untuk agama lain seharusnya menghormati perasaan orang Melayu yang majoritinya beragama Islam.

"Kalau mereka mahu menggunakan kalimah Allah hanya terhad di Sabah atau Sarawak boleh kita terima kerana itu sudah menjadi kebiasaan untuk mereka.

"Namun, sekiranya mahu kalimah Allah digunakan untuk agama lain di Semenanjung itu amat biadap dan tidak menghormati Raja-Raja Melayu yang merupakan Ketua Agama Islam serta bertentangan dengan perlembagaan Malaysia.

"Hormatilah perasaan orang Melayu yang majoritinya beragama Islam seperti mana orang Melayu menghormati perasaan orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak," katanya lagi.

Beliau juga menegaskan hujah mengatakan kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam di Semenanjung sejak abad ke-16 adalah tidak tepat.

"Portugis, Belanda dan Inggeris tidak menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada God atau tuhan dalam agama Kristian.

"Jangan putar belitkan fakta yang ada semata-mata mahu menegakkan benang yang basah," tegas beliau.

Mohamed Nazri juga mengajak seluruh umat Islam di negara ini untuk berdiri teguh di belakang Perdana Menteri dan Raja-Raja Melayu dalam isu ini.

Katanya, ketegasan perdana menteri dalam isu ini terbukti dengan jawapan yang diberikan dalam Dewan Rakyat pada Selasa.

"Kita tidak boleh terikut-ikut dengan permainan sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan dan cuba memberikan gambaran kerajaan tidak melindungi orang Melayu dan Islam.

"Jangan biarkan pemikiran kita disempitkan oleh mereka atau pihak-pihak yang suka mengambil kesempatan dalam isu sebegini," katanya.

Bercakap di Dewan Rakyat pada Selasa, Anwar memaklumkan, kerajaan sedang mengkaji untuk meminda atau membatalkan semua undang-undang yang bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu berhubung penggunaan kalimah Allah.

Menafikan tindakan menarik balik rayuan kes mahkamah baru-baru ini sebagai suatu kelemahan, Anwar berkata langkah berkenaan adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan ia tidak boleh dipertikaikan lagi di mana-mana mahkamah.