‘Kami tak gentar!’ - Aktivis GSF imbau layanan kasar Israel, tekad perjuangan demi Palestin

Anwar sebaik tiba pada Himpunan "Sumud Nusantara: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka” di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Himpunan Solidariti Bersama Gaza menyaksikan 23 aktivis Global Sumud Flotila (GSF) berkongsi pengalaman mencemaskan mereka ketika ditahan rejim Zionis Israel pada 2 Oktober lalu.
Antara yang tampil berkongsi kisah ialah Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan dan Muhammad Abdullah, yang menceritakan bagaimana pasport Malaysia menjadi simbol keberanian rakyat negara ini menentang kezaliman Israel, selain pengalaman berdepan layanan kasar ketika dalam tahanan.
Kisah penuh emosi itu dikongsikan pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil, yang menghimpunkan puluhan ribu rakyat Malaysia sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Rahmat berkata, pasport Malaysia sering menjadi perhatian pihak berkuasa Israel kerana pendirian negara ini yang tegas tidak mengiktiraf kewujudan Israel sejak merdeka.“Tahu kenapa mereka benci dengan pasport Malaysia? Sejak 1957 dan sebelum daripada itu, pemimpin kita kekalkan dasar iaitu pasport ini sah digunakan kecuali negara Israel,” katanya di hadapan ribuan hadirin di Axiata Arena, malam tadi.
Tambahnya, ketika diperiksa, tentera Israel dilihat jelas menunjukkan kebencian mereka apabila mengetahui beliau warga Malaysia.
“Bila mereka nampak pasport Malaysia, mereka kata apa? Malaysia! Lepas tu dia maki saya dalam bahasa mereka, saya balas balik mak kau hijau,” katanya berseloroh, disambut sorakan hadirin.
Sementara itu, seorang lagi aktivis, Muhammad Abdullah atau Ustaz Mad Kecik turut menceritakan pengalaman ditahan dan digari dengan kasar oleh tentera Israel.
“Tangkap juga, gari juga kami, mula-mula gari tersebut longgar, tiba-tiba dia tengok longgar dia kepit sampai tak boleh gerak,” ujarnya.
Katanya, pengalaman itu membuktikan tentera Israel sebenarnya takut kepada semangat pejuang kemanusiaan yang ditunjukkan sukarelawan.
“Takutnya Israel, walaupun mereka kata kami lemah, tapi sebenarnya dia yang koyak!” katanya disambut tepukan gemuruh penonton.
Tidak ketinggalan, wirawati GSF, Nurfarahin Romli atau lebih dikenali sebagai Farah Lee, turut berkongsi detik tegang ketika ditahan apabila tetap berani berdepan askar Israel walaupun diugut dan dipaksa masuk ke dalam sel.
“Saya ditarik, ditolak dan dihumban ke dalam sel, tapi saya masih berani tenung mata-mata askar Israel sebab saya tahu saya benar,” katanya.
Sementara itu, aktivis terkenal, Nur Heliza Helmi pula menceritakan bagaimana beliau mempertahankan hak untuk beribadah ketika dalam tahanan.
“Mereka tak benarkan pakai stokin. Saya balut kaki guna penutup mata dan bila ditanya, saya cakap ini untuk solat. Akhirnya, mereka terpaksa akur,” ujarnya.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami