Kumpulan bekas penjawat awam atau G25 hari ini menafikan mereka telah mengeluarkan saranan untuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dimansuhkan.

Sebaliknya, jelas G25 dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan itu tidak diperuntukkan sebarang kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya lagi, adalah lebih baik sekiranya Raja-raja Melayu berkenan untuk mendapatkan kuasa bagi mewujudkan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI), dan Jakim diletakkan sebagai sekretariatnya.

“Baginda-Baginda boleh melakukannya melalui Parlimen untuk membuat pindaan kepada Perkara 38 (Perlembagaan Persekutuan).

"Jika ini dapat dilakukan dengan sendirinya langkah ini akan meningkatkan lagi peranan Majlis Raja-Raja (MRR), terutamanya dalam hal-hal berhubung dengan pentadbiran Islam di Malaysia,” menurut kumpulan itu lagi.

Media pada Sabtu melaporkan dakwaan G25 bahawa penubuhan Jakim dan MKI tidak mengikut perlembagaan kerana tiada peruntukan untuk agensi berkenaan ditubuhkan di peringkat nasional.

BACA: Apa motif G25 persoal penubuhan Jakim - Mujahid

BACA: Isu penubuhan Jakim sudah diterangkan kepada G25 - Fuziah Salleh

BACA: Pandangan G25 mengenai isu murtad menyesatkan - Mufti Perak

Mengulas lanjut, G25 berkata, pernyataan kuasa di bawah Perkara 38 tentang apa yang boleh dilakukan oleh MRR adalah amat spesifik.

Ini, jelasnya lagi, menunjukkan yang penggubal Perlembagaan berniat dengan jelasnya untuk mengecualikan agama dari kuasa persekutuan kerana Raja-Raja Melayu diberi jaminan yang Islam adalah di dalam bidang kuasa negeri-negeri.

“Pakar-pakar perundangan kami berpegang kepada Perkara 38 yang nyata dan memenuhi kehendak Raja-Raja Melayu agar tiada kuasa di beri pada MRR untuk menubuhkan badan atau jabatan untuk pengelolaan agama Islam di peringkat persekutuan.

“Tambahan lagi, merujuk kepada kebimbangan MRR berkenaan implikasi Perkara 3 ke atas hak Istimewa Raja-Raja Melayu di negeri-negeri Baginda, penggubal perlembagaan memberi jaminan yang jika adanya satu badan atau Majlis yang ditubuhkan di peringkat persekutuan, ia hanyalah terhad bagi tujuan perhubungan (liaison) semata-mata,” kata G25.

Mengulas lanjut, G25 berkata, mereka menyambut baik pindaan bagi mengiktiraf JAKIM di bawah Perlembagaan.

“Jabatan peringkat persekutuan ini yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri mempunyai bajet besar, lebih besar dari bajet beberapa kementerian.

“Amatlah membingungkan, dan dari segi undang-undang berisiko kepada kerajaan, sekiranya ada yang mempersoalkan tentang keesahan memperuntukkan dana awam kepada Jakim, dan membawa soal keesahan penubuhan Jakim sendiri dari segi undang-undang,” katanya lagi.