Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan semakan semula Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan liwat.

Tegasnya, keluarga dan pimpinan Pakatan Harapan akan terus menggunakan apa sahaja saluran bagi membebaskan Bekas Ketua Pembangkang itu.

"Keputusan (Mahkamah Persekutuan ) hari ini mengecewakan. Ini tidak bermakna kami tidak ada ruang-ruang lain untuk pembebasan Datuk Seri Anwar.

"Keluarga, pimpinan PKR , Pakatan Harapan akan menggunapakai segala ruang. Kita juga telah menyiapkan permohonan pengampunan pengenepian prinsip keadilan," katanya semasa ditemui di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Menurut Nurul Izzah, keluarga dan pimpinan parti tetap bertegas untuk mengatakan Anwar tidak bersalah dalam kes liwat ke atas pembantu peribadinya itu.

"Apa pun yang berlaku hari ini, kita masih jelas kata beliau seorang yang tidak bersalah untuk menuntut keadilan dan perjuangan diteruskan," ujarnya.

Dalam pada itu, salah seorang peguam Anwar, N. Surendran semasa ditemui berkata, pihak pembelaan akan meneliti keputusan kehakiman dibuat lima panel anggota Hakim Mahkamah Persekutuan itu.

Buat masa ini katanya, anak guamnya, Anwar tetap berpendirian untuk tidak menerima keputusan berkenaan.

"Beliau (Anwar) tidak dapat menerima keputusan itu, begitu juga dengan keluarganya.

"Kami sedang dapatkan salinan kehakiman dalam masa terdekat ini. Kami akan teliti penghakiman berkenaan dan akan umumkan apa tindakan kami dalam masa terdekat," katanya.

Ditanya sama ada Anwar akan membuat permohonan bagi mendapatkan pengampunan diraja, ini jawapan beliau:

"Itu (pengampunan diraja) adalah perkara lain. Proses mendapat pengampunan diraja adalah jika beliau mengaku melakukan kesalahan, atau pengguguran penghakiman menyebabkan beliau memohon pengampunan. Namun, mengenai merit berkenaan, kita perlu kaji dahulu kertas penghakiman itu," katanya lagi.