MALAYSIA
Kamil Munim bertemu Yasin di Hospital Bahagia

Muhammad Kamil Abdul Munim menziarahi Muhammad Yasin Sulaiman di HBUK, Tanjung Rambutan, Perak. - Foto FB Kamil Munim
KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menziarahi penyanyi nasyid dan komposer terkenal, Muhammad Yasin Sulaiman di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan, Perak, pada Khamis.
Kunjungan tersebut dilakukan selepas beliau menghadiri beberapa program komuniti di kawasan Parlimen Tambun, mewakili Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Diberi kesempatan untuk menziarahi sahabat yang juga seorang pejuang, saudara Yasin Sulaiman yang kini berada di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan (Perak)," katanya dalam perkongsian di Facebooknya di sini, pada Khamis.
Dalam perkongsian itu, Muhammad Kamil turut menyelitkan beberapa rangkap lagu Sepi Perantau yang pernah dipopularkan ahli kumpulan Brothers yang dianggotai Yasin. Lagu itu bukan sahaja mengungkapkan perasaan seorang perantau yang kesunyian dan merindui kampung halaman, tetapi juga menggambarkan kekuatan yang terbit daripada semangat sahabat seperjuangan.
Pada 28 April lalu, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan komposer dan penyanyi Yasin Sulaiman serta memerintahkannya kembali ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak sehingga diperkenankan Sultan Selangor.
Keputusan itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan ke atas Yasin atau nama sebenarnya, Muhammad Yasin Sulaiman, 50, selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan dadah dihadapinya.
Keputusan sebulat suara itu diputuskan panel hakim diketuai Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali yang bersidang bersama-sama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin selepas menerima rayuan akhir yang dimohon Yasin.
Pada 22 Ogos tahun lalu, Hakim Datuk Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan selaku perayu ke atas keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Faiz Dziyauddin yang melepas dan membebaskan pelantun lagu Mimpi Laila itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami