GERIK: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dipercayai dirogol secara bergilir-gilir oleh tujuh lelaki yang juga rakan abangnya di sebuah kampung, di sini pada 3 November lalu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu disaksikan oleh adik mangsa berusia sembilan tahun.

Jelasnya, pihaknya menerima laporan berhubung kes tersebut pada Isnin lalu jam 9.26 malam daripada ibu mangsa yang berusia 36 tahun.

"Ibu mangsa telah diberitahu oleh suaminya bahawa anak perempuan mereka telah dirogol. Kejadian itu disaksikan oleh anak lelaki mereka yang juga adik mangsa.

"Siasatan lanjut mendapati pada 3 November lalu, sekitar jam 2 petang, saksi telah melihat tujuh orang rakan abangnya yang berusia lingkungan 13 hingga 31 tahun merogol kakaknya di dalam bilik rumah jiran sebelah.

"Enam daripada suspek merupakan adik beradik dan seorang lagi rakan mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Selain itu katanya, saksi juga memaklumkan kejadian seumpama itu sudah beberapa kali berlaku terhadap kakaknya yang tidak bersekolah.

Justeru katanya, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik telah menahan semua suspek awal pagi semalam. 

Zulkifli berkata, hasil ujian saringan air kencing ke atas semua suspek adalah negatif dan kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 November.