KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang selepas tergelincir ke dalam Sungai Tok Hakim, Kuala Terengganu ditemui lemas.

Mayat Muhammad Harraz Ilman Mohd Syahril Redhuan, 11, ditemui kira-kira jam 11 pagi Khamis selepas lebih 17 jam operasi dilakukan pasukan menyelamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, mangsa dikesan di dasar sungai pada jarak 30 meter dia dilaporkan hilang.

"Dalam operasi yang memasuki hari kedua ini selain selaman operasi juga dilaksanakan menerusi pencarian sebelum pasukan penyelamat berjaya menjejaki mangsa di dasar sungai," katanya.

Rozizah berkata lebih 70 kekuatan juga digerakkan termasuk polis, bomba, unit anjing pengesan dan penduduk kampung.

Katanya mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Pada Rabu kegembiraan tiga sahabat bermandi manda di Sungai Tok Hakim,Kuala Terengganu bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka dikhuatiri lemas.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu mangsa datang ke lokasi berkenaan untuk bermandi bersama adiknya, Muhammad Firas Wafiy, 9, dan seorang lagi rakan mereka.