Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dijumpai mati dengan mayatnya berkeadaan reput selepas dipercayai menjadi mangsa dera teman lelaki ibunya di Flat Paya Nahu dekat Sungai Petani, Kedah awal pagi Khamis.

Lebih menyayat hati, mangsa dipercayai meninggal dunia pada 9 November lalu dan mayatnya disembunyikan di dalam tong yang disimpan di sebuah bilik di rumah berkenaan.

Kakak mangsa yang berusia empat tahun ditemukan dengan pelbagai kecederaan dan lebam dipercayai turut menjadi mangsa dera.

Kejadian terbongkar selepas berlaku pergaduhan di antara ibu mangsa, 26, dengan suspek berusia 34 tahun kira-kira jam 1.20 pagi hingga memaksa campur tangan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa mengesahkan kejadian dan sepasukan anggota dihantar lokasi untuk menjalankan siasatan.

Hasil maklumat daripada ibu mangsa, anggota yang melakukan pemeriksaan menemukan mayat dibungkus dengan beberapa helai kain, disimpan di dalam tong ikan yang ditutup rapi di rumah berkenaan.

Wanita itu dan teman lelakinya didapati positif dadah dan kini ditahan untuk siasatan.

Kakak mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Dan 325 Kanun Keseksaan.