Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun ditemui mati lemas selepas dihanyutkan air sungai ketika sedang berkelah bersama keluarga bapa saudaranya di Sungai Bernam, Simpang Empat Dalam, di sini, pada Khamis.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, Nurbalqis Zahra Zuraimi dari Kampung Seri Geriang, Hulu Bernam, Selangor, ditemui dalam keadaan kaku dan tidak bergerak sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Malim dan disahkan meninggal dunia akibat lemas.

Ketua Polis Daerah Muallim, Supt Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata kejadian berlaku apabila mangsa dikatakan mengikut keluarga bapa saudara termasuk ibu saudara serta lima lagi sepupunya ke kawasan perkelahan tersebut.

"Semasa kesemua mereka sedang bermandi di kawasan tersebut, tiada sesiapa menyedari mangsa telah dihanyutkan air sungai. Lebih kurang 15 minit selepas itu, salah seorang sepupu mangsa menyedari ketiadaan kanak-kanak itu dan memberitahu semua ahli keluarganya.

"Bapa saudaranya kemudian bertindak melakukan pencarian dengan menyelam di kawasan sungai dan menyusuri ke hilir sungai lebih kurang 400 meter dari tempat mangsa kali terakhir dilihat sebelum ternampak mangsa terbaring di atas beting pasir," katanya dalam kenyataan di sini.

Wan Kamarul Azran berkata sebaik menemui mangsa, bapa saudara mangsa yang berumur 31 tahun itu kemudian memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa selepas mendapati mangsa dalam keadaan tidak bergerak.

"Bapa saudaranya kemudian membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Tanjung Malim untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum pihak klinik berkenaan mengesahkan mangsa meninggal dunia dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Slim River untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami sesak nafas akibat lemas dan tiada kesan luka atau lebam pada tubuh badan mangsa yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah. -- Bernama