PENAMPANG: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas dirempuh pacuan empat roda di pekan Dongongon, di sini, semalam.

Terdahulu, dalam kejadian jam 1.50 tengah hari itu, mangsa dikatakan makan bersama ibunya di sebuah restoran berhampiran lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata bagaimanapun, mangsa dipercayai meluru keluar untuk melintas jalan sebelum dirempuh kenderaan dipandu lelaki berusia 40 tahun.

Beliau berkata, pemandu yang menyedari kenderaan itu seolah-olah terlanggar sesuatu segera memberhentikan kenderaannya untuk membuat pemeriksaan.

"Sebaik turun dari kenderaan, pemandu terbabit mendapati seorang kanak-kanak perempuan terbaring di atas jalan raya.

"Dia terus bergegas membawa mangsa ke Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH 1) untuk mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun, pihak hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia pada jam 4.10 petang ketika menerima rawatan di wad kecemasan QEH 1," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Haris berkata, pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, Mohd Haris menasihati orang ramai supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak semasa berada di tempat awam.