Seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang berada dalam buaian nyaris diterbangkan dalam kejadian ribut yang melanda Kampung Baru, Lomboh, Tambung Tulang, di sini pada Selasa malam.

Sebelum kejadian mendebarkan itu, ribut kencang beserta hujan lebat yang melanda lebih setengah jam turut menerbangkan seluruh bumbung kediaman keluarga kanak-kanak berkenaan.

Menurut bapa kanak-kanak tersebut, Mahadzir Hasan, 38, anaknya itu nyaris diterbangkan ribut beberapa minit selepas dia diangkat dari buaian.

Kata Mahadzir, ketika kejadian juga dia dan isterinya sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah mereka sementara anaknya, Damia Haziqah berada dalam buaian.

Tiga orang lagi anaknya bagaimanapun, tiada di rumah ketika itu.

"Anak saya berada dalam buaian semasa ribut dan lima minit selepas ribut isteri saya turun untuk mengangkatnya. Mujur isteri saya cepat angkat anak kerana kalau tidak anak saya dibawa (diterbangkan) dengan buaian," kata Mahadzir.

Selain seluruh bumbung rumahnya yang diterbangkan sejauh 300 meter ke dalam sawah, ribut yang melanda juga menerbangkan kipas angin serta buaian yang diikat pada alang rumah.

Ribut yang melanda kampung berkenaan turut menerbangkan bumbung tiga buah rumah lain yang berhampiran.

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan sementara kerugian dianggarkan berjumlah RM100,000 bagi kerosakan yang dialami keeempat-empat rumah berkenaan.

Mahadzir berkata, kejadian yang kali pertama berlaku di kawasan itu turut menyebabkan mereka trauma.