Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut dalam kebakaran di rumahnya di Taman Lip Sin, Bayan Lepas, Pulau Pinang petang Khamis.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa yang berada di tingkat atas rumah terperangkap dan gagal menyelamatkan diri apabila api marak di bahagian tersebut.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Jalan Perak memaklumkan, mayat kanak kanak itu ditemui di bahagian atas rumah selepas api dipadamkan.

Beliau berkata, bomba menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 4.21 petang melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat dan bergegas ke lokasi dengan dua jentera dari Balai Bomba Jalan Perak dan Balai Bomba Bayan Baru.

Pihak bomba menemui mayat kanak kanak tersebut di bahagian atas rumah. - Foto JBPM

Katanya, ketika tiba di lokasi, api sudah marak namun pihaknya berjaya mengawal api pada jam 4.47 petang dan pemadaman sepenuhnya berjaya dilakukan sejam kemudian.

"Ketika anggota kita tiba di lokasi kejadian, api sedang marak dan anggaran peratusan kemusnahan kebakaran pada masa itu hampir 60 peratus.

"Kita juga dimaklumkan oleh orang awam terdapat seorang mangsa yang terperangkap di tingkat atas," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut nya, setakat ini punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.