JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, cedera akibat dicucuk garpu oleh seorang wanita kurang siuman menggunakan garpu dalam kejadian di Taman Mount Austin, semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, kanak-kanak terbabit, yang dipercayai berada di luar bangunan pusat tuisyen di kawasan itu, cedera dibahagian kepala dan tangan.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada bapa mangsa yang membuat laporan polis.

"Semasa berada Taman Mount Austin,  di sini, pengadu memaklumkan anak perempuannya berumur tujuh tahun telah didatangi seorang wanita yang disyaki kurang siuman.

"Wanita itu telah cucuk anak perempuannya menggunakan garpu sehingga menyebabkan cedera pada bahagian kepala dan tangan. Kemudian telah melarikan diri.

"Suspek itu bukan jiran mangsa dan tidak dikenali. Wanita itu dipercayai kurang waras. Polis sedang mencari suspek yang masih belum dikesan ketika ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Kes disiasat dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.