DUNIA
Erdogan desak usaha damai di Gaza, Ukraine seperti perjanjian Iran-Israel

Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Khamis memuji usaha Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dalam mencapai gencatan senjata antara Iran dan Israel. - Foto REUTERS
ANKARA: Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Khamis memuji usaha Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dalam mencapai gencatan senjata antara Iran dan Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ringkasan AI
- Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan memuji usaha Presiden AS Donald Trump mencapai gencatan senjata antara Iran dan Israel.
- Erdogan berharap Trump turut membantu menghentikan konflik di Gaza dan perang Rusia-Ukraine.
- Beliau yakin Iran tidak akan menutup Selat Hormuz atau menghentikan bekalan gas ke Turkiye.
Erdogan menegaskan bahawa konflik terbaru antara Iran dan Israel sekali lagi menyerlahkan betapa pentingnya keselamatan bekalan tenaga.
"Sebagai Turkiye, kami sedang giat berusaha untuk meningkatkan sumber tenaga kami sendiri," kata Erdogan.
"Kami tidak menganggap Iran akan menghentikan bekalan gas asli ke Turkiye," kata Erdogan sambil menambah: "Pada masa ini, bekalan gas asli kami dari Iran berjalan lancar dan kami tidak menghadapi sebarang masalah."
Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di Iran pada 13 Jun termasuk kemudahan tentera dan nuklear dengan mendakwa Tehran hampir menghasilkan bom nuklear, dakwaan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh Iran.
Iran kemudian melancarkan serangan balas menggunakan peluru berpandu dan dron, manakala AS menyertai konflik itu dengan mengebom tiga tapak nuklear Iran pada Ahad.
Selepas 12 hari pertempuran udara antara dua musuh ketat serantau itu, Trump pada Isnin mengumumkan gencatan senjata antara Israel dan Iran untuk menamatkan konflik tersebut.
"Kami mengadakan pertemuan yang produktif dengan rakan saya Trump dan membincangkan hubungan dua hala, kerjasama NATO serta isu serantau dan global," kata Erdogan.
"Kami menyampaikan pendekatan berorientasikan penyelesaian kami mengenai isu serantau kepada Trump dan mengharapkan sokongannya dalam hal ini," tambah Erdogan sambil berkata: "Trump memberikan maklum balas positif terhadap cadangan kami."
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami