Seorang kanak-kanak lelaki hilang selepas disambar buaya di Sungai Kinabatangan di Kampung Mubibbah Hujung di sini, pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Asmin Abdullah, 8, diserang reptilia itu ketika menurunkan perahu ke sungai bersama ayahnya.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kinabatangan, Kepten Ahmad Roslan Mohd Kamel berkata, terdahulu dua beranak itu bercadang untuk mandi selepas menurunkan perahu.

"Ketika bapa mangsa membelakangkan mangsa di dalam sungai itu, dia tiba-tiba terdengar bunyi kocakan air yang kuat.

"Sebaik berpaling, dia melihat anaknya disambar reptilia berkenaan dan hilang di dalam sungai.

"Dia kemudian membuat laporan sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Menurutnya, sehingga jam 5.30 petang, mangsa belum ditemui dan SAR ditangguh sebelum disambung semula jam 8 pagi esok.