IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lemas setelah terjatuh ke dalam tasik berhampiran Masjid Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) di Seri Iskandar, kira-kira 37 kilometer, dari sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mangsa terjatuh ke dalam tasik berdasarkan maklumat diperoleh daripada keluarga mangsa yang berada di masjid itu untuk menunaikan solat Zuhur.

Beliau berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar menerima panggilan kecemasan pada jam 1.29 tengah hari dan jentera tiba di lokasi kejadian sejauh sembilan kilometer kira-kira 10 minit kemudian.

"Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu menunjukkan kanak-kanak tersebut berada bersebelahan dengan tasik berkenaan.

"Mangsa ditemui pada jam 4.25 petang kira-kira tiga meter dari tebing tasik berkenaan dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Hafezul Helmi Hamzah dalam kenyataan berkata mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Changkat Melintang, Bota.

“Bedah siasat akan dilaksanakan pada malam ini untuk mencari punca kematian dan kes disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kecuaian dan pengabaian terhadap kanak-kanak,” katanya.

Justeru beliau meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan dengan kejadian itu supaya membantu siasatan dengan menghubungi Pengawai Penyiasat Inspektor Mohamad Zulkarnaiin Jusoh di talian 013-9740294.

-- BERNAMA