Seorang lelaki direman tiga hari bagi membantu siasatan kes kemalangan sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tercampak keluar dari kenderaan dalam kejadian di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, Isnin lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan DSP Shaifulizan Sulaiman berkata reman bagi pemandu Myvi berusia 20 tahun itu dikeluarkan Majistret Tan Chai Wei di Mahkamah Majistret Rembau, di sini bermula semalam (12 Feb) sehingga 14 Feb.

Lelaki berkenaan yang memakai kemeja-T dan berseluar pendek berwarna hitam tiba di mahkamah pada kira-kira 9.30 pagi, diiringi anggota polis.

Pada Selasa, rakaman video kejadian berkenaan yang berdurasi 59 saat, tular di media sosial Facebook dan mendapat perhatian ramai netizen.

Dalam kejadian pada 3.21 petang di kilometer 235.5 lebuhraya PLUS, berhampiran Senawang, seorang kanak-kanak lelaki nyaris maut selepas tercampak keluar dari kenderaan yang dinaiki bersama keluarga yang hilang kawalan selepas dihimpit sebuah kenderaan.



Susulan rakaman video berkenaan, pemandu Perodua Myvi yang dipercayai menghimpit kenderaan berkenaan, ditahan di Batu Berendam, Melaka, kira-kira pukul 4.50 petang Selasa.

BACA: 'Mereka asyik menangis dan memang menyedihkan' - Saksi

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan Nicole Tan Lee Koon yang meluangkan masa melawat kanak-kanak tersebut, S. Tisshaaanth, yang kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban berkata mangsa berada dalam keadaan stabil dan hanya mengalami kecederaan luaran.

“Daripada pemeriksaan x-ray, tiada apa-apa kecederaan dalaman dialami,” katanya kepada pemberita sambil menambah kerajaan negeri akan menyumbang kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) serta bantuan kewangan kepada keluarga mangsa.

“Yang penting (dalam insiden ini) ialah (penggunaan) CRS. Sekiranya mereka menggunakan CRS, memang insiden seperti ini tidak akan berlaku dan saya harap dengan insiden ini, orang ramai akan mula mematuhi undang-undang penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak,” katanya.

BACA: Tular budak tercampak atas lebuh raya PLUS, pemandu kereta biru diburu

Sementara itu, bapa kepada kanak-kanak malang itu K. Satthiaseelan, 33, ketika menceritakan detik cemas berkenaan berkata ketika kejadian, beliau yang berada di lorong kanan lebuh raya terbabit, mendapat isyarat lampu daripada pemandu kereta Honda Jazz di belakang kenderaannya, yang diikuti rapat sebuah Perodua Myvi.

“Ketika saya mahu ke tepi, secara tiba-tiba terdapat sebuah Perodua Myvi yang datang dari lorong paling kiri terus ke lorong paling kanan dan kemudian telah melanggar bahagian kiri belakang kereta saya dan saya tidak dapat berbuat apa-apa dan melanggar pembahagi jalan.

“Selepas itu, anak saya sudah ‘terbang’ daripada kereta melalui cermin sisi (sebelah penumpang) yang pecah. Saya berhentikan serta-merta kereta saya di lorong tengah dan mencari anak saya, namun dia tiada dalam kereta. Saya kemudian nampak, anak saya berada di tengah jalan, jadi saya terus berlari mendapatkannya,” katanya yang menetap di Taman Cempaka, Rantau.

Dalam pada itu, beliau yang bekerja di kilang perabot di Jalan Pantai, Seremban turut berterima kasih dengan pertolongan yang diberikan semua pihak termasuk pemandu lori yang telah memberhentikan kenderaan dan keluar menyelamatkan anak lelakinya, Tisshaaanth.

-- BERNAMA