ALOR SETAR: Kes gangguan seksual melibatkan kanak-kanak dan remaja terutama secara dalam talian semakin membimbangkan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Aiman Athirah Sabu berkata, berdasarkan laporan UNICEF Malaysia pada 2021, sekurang-kurangnya empat peratus daripada kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun yang menggunakan internet berdepan ancaman eksploitasi dan penderaan seksual secara maya.

Menurutnya, gangguan seksual merupakan jenayah dan fenomena negatif yang boleh memberi kesan buruk kepada mangsa khususnya kanak-kanak mahupun organisasi.

“Kadang-kadang anak-anak menggunakan talian internet untuk berkenalan dan tersilap langkah berkongsi gambar-gambar yang boleh digunakan sebagai ugutan kepada mereka untuk melakukan jenayah seksual.

“Ini termasuk diperas ugut untuk terlibat dalam aktiviti seksual, imej seksual mereka dikongsi tanpa kebenaran atau dipaksa melakukan aktiviti seksual melalui janji wang atau hadiah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual di sini semalam.

Aiman Athirah memaklumkan, terdapat 35 kes gangguan seksual melibatkan kanak-kanak pada tahun lalu di seluruh negara termasuk dua kes di Kedah.

“Oleh itu kita nasihati ibu bapa supaya lebih peka kepada aktiviti anak-anak dalam penggunaan gajet atau bahan-bahan yang dilayari dalam talian.

“Laporan menunjukkan anak-anak kita sangat terdedah kerana mereka memiliki gajet sendiri, walaupun masih berusia kanak-kanak namun mereka boleh melayari dunia luar tanpa sempadan. Jangan biarkan mereka ‘hanyut’ dalam dunia tersebut,” katanya.

Menurutnya lagi, pendidikan seks tidak lagi boleh dianggap sesuatu yang sensitif dalam masyarakat dalam usaha menyedarkan kanak-kanak tentang gejala gangguan seksual.

“Sekarang adalah masa tepat untuk anak-anak menguasai ilmu pendidikan seksualiti, sentuhan selamat, proses akil baligh dan perubahan fizikal anak-anak apabila menginjak dewasa.

“Jangan anggap pendidikan seksual terlalu awal kerana penjenayah seksual tidak menganggap anak kita terlalu muda untuk diganggu,” jelasnya.

Aiman Athirah berkata, pelaku mungkin menganggap tindakan mereka sebagai jenaka dan tidak berbahaya atau salah faham, namun gangguan seksual bukan sahaja dalam bentuk sentuhan, tetapi juga perkataan lucah.

“Kesemua itu merupakan mukadimah kepada berlakunya jenayah perlakuan seksual yang lebih berat. Normalisasi perlakuan ini mesti dihentikan,” tegasnya.

Menurutnya, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes gangguan seksual meningkat dari 378 kes pada tahun 2020 kepada 506 kes pada 2021 dengan sedikit penurunan pada 2022, iaitu 477 kes.

“Kes yang dilaporkan melibatkan lelaki dan wanita. Namun, majoriti mangsa adalah wanita sebanyak 354 kes (2020), 446 kes (2021) dan 416 kes pada 2022. Ini menunjukkan setiap tahun lebih 90 peratus kes gangguan seksual melibatkan wanita.

“Di Kedah, terdapat 23 kes gangguan seksual (2022) di mana 21 kes atau 91 peratus melibatkan gangguan seksual terhadap wanita,” jelasnya.

Dalam pada itu, Aiman Athirah berharap mangsa membuat laporan polis berhubung gangguan seksual selain melenyapkan stigma masyarakat yang malu untuk berdepan dengan kes seumpama.

“Puncanya sebab mangsa malu, ibu ayah pun malu. Diharap melalui advokasi anti-gangguan seksual yang diadakan akan memberikan kefahaman lebih jelas berhubung jenayah dan akta yang ada.

“Kita harapkan lebih ramai faham apa itu gangguan seksual dan tindakan-tindakan yang perlu diambil. Antaranya mengumpul bukti, maklumkan kepada ahli keluarga dan rakan terdekat bahawa mereka sedang menerima gangguan seksual untuk mudahkan siasatan,” jelasnya.

Tambah beliau, persekitaran yang harmonis dalam sesebuah keluarga dapat membantu membina kepercayaan agar anak-anak bebas bersuara dan berkongsi pengalaman harian mereka.

“Anak-anak juga perlu dididik supaya dapat membezakan antara sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat,” tegasnya. - Sinar Harian