KAJANG: Kanak-kanak lelaki yang ditemui dengan kesan penderaan di seluruh badan di tepi jalan di Cheras Utama, di sini Jumaat lalu masih dalam keadaan trauma dan enggan bercakap.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, mangsa yang dianggarkan berusia sekitar tiga hingga empat tahun berkenaan sukar untuk berkomunikasi walaupun seorang jurubahasa dipanggil untuk bercakap dengannya.

"Apabila jurubahasa berkenaan bercakap dalam bahasa Rohingya, kanak-kanak itu macam tidak faham.

"Dia tidak mahu bercakap tetapi dia boleh menulis angka satu hingga 10 dalam bentuk perkataan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.

"Namun, dia masih tidak mahu bercakap dan hanya dilihat tersenyum.

"Mungkin dia masih dalam keadaan trauma,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat ke-19 sempena Tahun Baru Cina 2023 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), pada Selasa.

Pada Isnin media melaporkan, pihak polis masih menunggu laporan perubatan kanak-kanak lelaki yang ditemui dengan kesan kecederaan di badan, tangan, jari dan dahi di tepi jalan di Cheras Utama pada Jumaat.

Kanak-kanak lelaki berkenaan dilaporkan dalam keadaan baik di Hospital Kajang dan diserahkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sehubungan itu, Mohd Zaid meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung ahli keluarga atau waris mangsa supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Kanak-kanak itu sudah diserahkan kepada JKM untuk tindakan lanjut, namun masih ditempatkan di hospital untuk pemantauan.

"Kita ada bawa gambar kanak-kanak itu di sekitar lokasi dia ditemui termasuk di kawasan perumahan berhampiran, namun tiada individu yang mengenalinya.

"Kita juga membuat hebahan di grup WhatsApp penduduk dan kawasan sekitar," ujar beliau. -Sinar Harian