Seorang kanak-kanak perempuan ditemui lemas di tali air berdekatan rumahnya di Rancangan Perumahan Tempatan (RTP) Paya Mak Insun di Pendang, pada Khamis.

Farisha Afrina, setahun 10 bulan ditemui tertiarap di dalam parit itu pada 6.30 petang kira-kira dua jam selepas kehilangannya disedari anggota keluarga.

Menurut bapanya, Mohd Fadhlisham Che Me, 39, beliau mendapat panggilan telefon daripada adik iparnya yang memaklumkan bahawa anaknya tiada di rumah ketika hujan lebat.

Dia kemudian bergegas pulang dan mengesyaki anaknya telah jatuh ke dalam parit di tepi rumah dan segera melakukan pencarian bersama penduduk kampung.

Farisha ditemukan kira-kira 500 meter dari lokasi dia dipercayai jatuh dalam sudah tidak bernyawa.

Siasatan awal polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat kanak-kanak itu di hantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.