Seramai 149 kanak-kanak yang membuat panggilan di Talian Kasih 15999 mengadu mengalami kesunyian, dedah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Menurut beliau, angka berkenaan merangkumi 56 peratus daripada 264 panggilan yang dibuat melalui talian yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Dari tahun 2015 hingga September 2019, 264 panggilan datang daripada kanak-kanak. Sebanyak 56 peratus daripada 264 panggilan itu iaitu kanak-kanak berkenaan mengatakan mereka kesunyian dan memerlukan orang untuk berbual.

"Jadi kita perlu pastikan hubungan antara ibu bapa dengan anak sangat penting," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Forum Kesihatan Mental di Tempat Kerja anjuran Qualitas Health di Bukit Kiara di sini pada Rabu.

Sehubungan itu, ibu bapa dan penjaga, kata beliau, disaran meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak atau sekurang-kurangnya melibatkan mereka dengan aktiviti berfaedah sepanjang cuti sekolah.

"Jadi, memandangkan sekarang adalah musim cuti sekolah ibu bapa perlu pastikan kalau anda bekerja pastikan anak-anak ada aktiviti yang sihat, awasi penggunaan gajet, pastikan penjaga anak menjaga mereka dengan betul," tambah beliau lagi.

Dalam masa sama, Hanna berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada masa ini giat mempromosikan Talian Kasih 15999.

Talian Kasih 15999, jelas beliau, dibangunkan oleh kerajaan untuk semua lapisan masyarakat terutama dalam menjaga kebajikan mereka yang memerlukan.

"Tahun-tahun sebelum ini mungkin tidak begitu rancak. Oleh sebab itu tidak banyak (panggilan). Namun, sesetengah daripada panggilan datang kerana kesunyian," ujar beliau lagi.

"Melalui Talian Kasih, kita ada kaunselor. Operator akan dapat semua maklumat pemanggil dan mereka akan salurkan kepada pihak tertentu. Contohnya kalau ada kes penderaan mereka akan salurkan kepada polis. Ia bukan sahaja untuk kanak-kanak, tetapi juga untuk warga emas dan semuanya," kata Hannah.