IPOH: Polis menahan sepasang suami isteri di sini, hari ini, bagi membantu siasatan kes kematian seorang kanak-kanak berusia 8 tahun, yang disyaki didera.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pasangan itu adalah ibu dan bapa saudara yang merupakan penjaga kepada mangsa.

Menurutnya, kedua-dua mereka yang berumur 40 tahun, akan dibawa ke mahkamah esok bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut.

Katanya, penahanan itu ekoran satu laporan polis dibuat pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh kira-kira jam 3.14 pagi tadi.

Beliau berkata, berdasarkan laporan itu, pihak hospital menerima seorang pesakit kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun yang dibawa oleh ambulan dan telah disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.45 pagi.

“Pemeriksaan ke atas badan mayat didapati terdapat kesan-kesan cedera, disyaki akibat didera.

“Bedah siasat telah dijalankan oleh pakar patologi, Jabatan Forensik HRPB dan didapati punca kematian adalah ‘multiple blunt injury',” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes tersebut berhubung dengan pegawai penyiasat, ASP S. Dasarathan di talian 012-5644484 bagi membantu siasatan.