KUALA KRAI: Seorang kanak-kanak perempuan antara tiga disahkan maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan dua kereta di Jalan Kuala Krai-Gua Musang dekat Kampung Pahi, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata bomba menerima panggilan kecemasan itu pada 1.38 tengah hari tadi dan kemalangan itu membabitkan kereta jenis Nissan March dan Perodua Myvi.

Beliau berkata kesemua mangsa yang maut di dalam kereta jenis Perodua Myvi itu merupakan warga tempatan iaitu masing-masing seorang lelaki, wanita dan kanak-kanak perempuan.

"Kesemua mereka meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi mangsa iaitu kanak-kanak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dua mangsa yang berada di dalam kereta jenis Nissan March pula iaitu seorang lelaki dan seorang wanita hanya mengalami kecederaan dan telah dibawa keluar oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai di lokasi kejadian.

Menurutnya, kesemua mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu telah dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA