Kanak-kanak berusia enam tahun yang menyelamatkan adiknya daripada menjadi mangsa kebakaran ketika rumah mereka di kampung Kubang Depu di Besut, Terengganu dijilat api tahun lalu, hari ini menerima Anugerah Pingat Hang Tuah atas keberaniannya itu.

Mohd Syawal Mohd Shukri, pelajar Tadika Kemas Kampung Kubang Depu, menerima anugerah berkenaan sempena sambutan Hari Warga Emas dan Hari Kanak-kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Dewan Wawasan dekat sini hari ini.

Hadiah berupa trofi, sijil serta wang tunai RM5,000 disampaikan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Bapa kanak-kanak itu, Mohd Shukri Mohamad Nor, 37, berkata ketika kejadian pada 11.30 pagi 3 Ogos tahun lepas, Mohd Syawal yang baru berusia lima tahun, berjaya membawa keluar adiknya, Mohd Syaqir Mohd Shukri, 4, dari rumah mereka setelah menyedari api sedang marak di dalam bilik tidur.

Katanya Mohd Syawal memaut adiknya lalu membawanya ke rumah nenek mereka yang terletak kira-kira 10 meter dari situ, sebelum berlari sejauh kira-kira satu kilometer untuk mencari Mohd Shukri.

"Waktu kejadian, dia dan adiknya bermain di dalam bilik. Saya dan isteri keluar bekerja dan membawa bersama anak bongsu berusia tiga tahun. Saya sangat bersyukur mereka semua selamat dan berbangga kerana Mohd Syawal sangat berani menyelamatkan adiknya," katanya.

Akibat kejadian itu keluarga Mohd Shukri tinggal sehelai sepinggang dan mengalami kerugian kira-kira RM28,000.

Mohd Shukri berkata keluarganya sangat bernasib baik kerana mendapat sebuah rumah baharu hasil keprihatinan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Pada majlis itu juga, bekas Mufti Kedah Tan Sri Sheikh Abdul Majid Mohd Noor menerima anugerah Khas Warga Emas 2014 manakala bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Malaysia (1976), Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh, 84, menerima Anugerah Tokoh Emas.

Wan Mahmood ketika ditemui pemberita berkata walaupun telah bersara beliau masih bergiat aktif dalam pelbagai pertubuhan sukarela sehingga kini antaranya menjadi Pengerusi Jawatankuasa Respon Kecemasan dan Bencana Alam Kebangsaan dan Pengarah Amanah Yayasan Sultan Abdul Aziz.

"Anugerah ini dapat menggalakkan lagi warga emas yang lain untuk terus berbakti dan bergiat aktif dalam bidang yang mereka ceburi," katanya.