IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas kereta dipandu ibunya terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan peronda polis (MPV) di Jalan Ipoh-Lumut dekat Puncak Jelapang, di sini petang semalam.
Nahas sekitar jam 3.35 petang itu mengakibatkan kanak-kanak, yang dikenali Chong Zee Han, cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 4.32 petang ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Advertisement
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kemalangan melibatkan kereta jenis Perodua Kelisa dinaiki dua beranak dan sebuah MPV model Honda Civic 1.5L milik pasukan yang dinaiki dua anggota.
Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika MPV yang dipandu anggota lelaki berpangkat konstabel itu dalam perjalanan dari arah Lumut menghala ke Jelapang.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu kereta Perodua Kelisa yang berada di laluan bertentangan dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan MPV tersebut hingga menyebabkan perlanggaran berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini.
“Pelanggaran itu mengakibatkan keempat-empat mangsa termasuk kanak-kanak itu cedera dan dihantar ke HRPB untuk rawatan. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, dua anggota polis serta pemandu Perodua Kelisa dan dibawa ke HRPB untuk mendapatkan rawatan.
Ujarnya, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang menaiki Perodua Kelisa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia semasa menerima rawatan di HRPB.
Katanya, mayat kanak-kanak tersebut telah dirujuk ke Unit Forensik HRPB untuk tujuan bedah siasat pagi ini.
Abang Zainal Abidin berkata, polis telah menahan kedua-dua kenderaan untuk pemeriksaan Puspakom serta mengesan rakaman papan penuka dan saksi bebas bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Insp Sabrina Anita Abd Samat di talian 05-2451537 atau hadir bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis belum membuat sebarang tangkapan setakat ini.