Skip to main content

Berita

Kerajaan dijangka jimat RM2.5 bilion hasil penyasaran subsidi RON95 tahun ini - PM

KUALA LUMPUR, 11 Feb -- Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dijangka mampu menjimatkan sekurang-kurangnya RM2.5 bilion pada tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjimatan itu juga tertakluk pergerakan harga minyak mentah dunia dan kadar pertukaran mata wang.

Advertisement

"Penjimatan ini hasil daripada ketirisan subsidi yang berjaya dikekang. Sindiket penyeludupan ke negara jiran juga dapat dibendung. Saya juga menghargai keprihatinan rakyat yang bertindak menegur dan menyalurkan maklumat tatkala ada cubaan membeli RON95 oleh warga asing.

"Sikap ini wajar dipuji kerana tidak sekadar mempertahan hak sebagai rakyat Malaysia, malah cerminan semangat kenegaraan dan jati diri," katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang memintanya menyatakan jumlah penjimatan dicapai melalui pelaksanaan Budi Madani (BUDI95) sepanjang tahun 2025 dan unjuran penjimatan bagi tahun 2026 serta bagaimana penjimatan tersebut dimanfaatkan.

Sementara itu, mengulas mengenai manfaat diterima rakyat hasil penjimatan berkenaan, Anwar berkata, ia diberikan melalui pelbagai bantuan.

"Hasil penjimatan fiskal telah diagih semula kepada rakyat. Penjimatan ini dapat membiayai penambahan bantuan rakyat, khususnya Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

"Bermula 9 Februari lalu, semua 22 juta rakyat Malaysia 18 tahun ke atas menerima RM100 setiap individu melalui MyKad," katanya.

Beliau menambah, SARA Untuk Semua juga dapat menjana limpahan ekonomi kepada peruncit tempatan sebagai Rakan Niaga SARA serta pembekal barangan asas termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.

Ujarnya, dalam tempoh dua hari pelaksanaan SARA Untuk Semua, hampir RM200 juta telah dibelanjakan oleh 2 juta rakyat.

"Kerajaan MADANI kekal berpegang kepada prinsip, pertumbuhan mesti dipacu oleh reformasi, dan reformasi mesti berpaksikan kesejahteraan rakyat.

"Lebihan fiskal hasil reformasi tidak ‘hilang’ begitu saja, tetapi tetap dipulangkan semula kepada rakyat. Bermakna, walau kita menggerakkan pembaharuan, hak dan kebajikan rakyat tetap terbela," katanya. -- Sinar Harian

 

Must Watch Video