Skip to main content

Malaysia

PGA rampas vape bernilai lebih RM3 juta

51738151815_Vape.jpg
Tindakan penguatkuasaan itu dibuat mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) serta undang-undang kecil pelesenan tred dan perindustrian. -Gambar hiasan

KOTA BHARU: Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain merampas pelbagai produk rokok elektronik atau vape bernilai lebih RM3 juta menerusi Operasi Bersepadu E-Cigarette Mega serentak di Kelantan, Pahang dan Terengganu, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata operasi dari 2 hingga 6 petang melibatkan 18 siri serbuan premis menjual rokok elektronik, iaitu tujuh di Kota Bharu dan Bachok, Kelantan; tiga di Terengganu (Kuala Terengganu dan Jerteh) dan lapan di Kuantan, Pahang.

Advertisement

“Sebanyak 193.53 liter cecair pelbagai perisa, 10,745 unit peranti vape dan 1,287 unit aksesori dirampas selain 18 lelaki tempatan ditahan untuk siasatan lanjut oleh Kementerian Kesihatan (KKM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Pihak KKM dan PBT telah mengeluarkan denda dan kompaun berjumlah RM145,250 di tiga negeri tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Radzi berkata operasi melibatkan 157 pegawai dan anggota PGA, 100 pegawai KKM, 59 petugas PBT dan 25 pegawai LHDN. 

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan itu dibuat mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) serta undang-undang kecil pelesenan tred dan perindustrian. 

“PGA akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi membanteras aktiviti penjualan rokok elektronik demi melindungi kesihatan awam,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video