Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut manakala tiga cedera parah dalam insiden tragis yang membabitkan empat beranak di Kilometer 308.1 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian sekitar 9.18 pagi itu, empat beranak tersebut dalam perjalanan ke Pulau Pinang untuk memberikan penghormatan kali terakhir buat seorang ahli keluarga mereka yang meninggal dunia sebelum kenderaan mereka terbabas di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superitendan Ng Kong Soon berkata kejadian itu berlaku apabila kenderaan jenis Toyota Hilux yang membawa empat sekeluarga itu terbabas lalu meragut nyawa kanak-kanak terbabit.

“Mangsa, R Parvithiran, 7, yang berasal dari Johor dan duduk di bahagian belakang kereta itu maut apabila kenderaan mereka terbabas dan melanggar sebatang pokok di bahu kiri jalan.

“Insiden tragis itu juga menyebabkan pemandu patah kaki kanan dan penumpang hadapan iaitu ayah saudara kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan ringan.

“Selain itu, sepupu mangsa, yang berusia 18 tahun dan duduk di bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda itu turut cedera parah, iaitu patah kaki kanan,” ujarnya ketika dihubungi Astro Awani.

Kong Soon berkata empat beranak itu dipercayai sedang dalam perjalanan dari Johor Bahru sebelum pemandu kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan melanggar sebatang pokok.

“Tiada tangkapan dilakukan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan.