KUALA LUMPUR:Lapan kes positif COVID-19 baharu direkodkan di Sarawak pada Khamis termasuk membabitkan kanak-kanak berusia dua tahun.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, dalam kenyataan memaklumkan, enam kes dilaporkan di Kuching manakala dua kes di Miri, menjadikan jumlah kes kumulatif meningkat kepada 1,053 kes.

Katanya kesemua kes yang dilaporkan di Kuching dikesan menerusi saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 Kluster Besi.

"Ia melibatkan seorang lelaki dan lima perempuan berusia dalam lingkungan dua hingga 56 tahun.

“Kes 1,048 hingga 1,053 merupakan ahli keluarga yang tinggal serumah dan mempunyai kontak rapat dengan kes 1,043 dan 1,044.

“Kesemua kes ini juga tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara atau mengunjungi kawasan berisiko tinggi dalam negara,” kata kenyataan itu.

Katanya dua kes di Miri dikesan menerusi saringan individu yang pulang dari Semenanjung Malaysia dan saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19.

“Kes 1,046 melibatkan seorang mahasiswa tempatan yang tiba dari Kuala Lumpur dan masuk ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Miri pada 8 November dan dimasukkan ke pusat kuarantin bagi menjalani arahan kuarantin wajib 14 hari.

“Manakala kes 1,047 merupakan warga tempatan yang merupakan kontak rapat kepada kes 987 yang dilaporkan sebelum ini,” tambah kenyataan sama.

Sementara itu, 16 kes dilaporkan pulih dan dibenarkan discaj melibatkan 13 kes dari Hospital Umum Sarawak (HUS) dan tiga kes di Hospital Miri.

Setakat ini, enam kluster dilaporkan masih aktif melibatkan Kluster Besi, Kluster Abell, Kluster Baki, Kluster Seladah, Kluster Greenhill dan Kluster Wisma Saberkas.