NATIONAL
Kanak-kanak lemas mandi sungai: 'Kenapa tinggalkan ibu, ibu sayang Aqil...'

Nuramalina menunjukkan gambar anaknya, Muhammad Aqil, yang ditemui lemas hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
BALING: "Kenapa Aqil tinggal ibu, ibu sayang Aqil".
Ringkasan AI
- Muhammad Aqil Fitri Hishamudin, 12, lemas ketika mandi di Sungai Felda Teloi Kanan bersama rakan-rakannya dan jasadnya ditemui 24 jam kemudian.
- Ibunya, Nuramalina Ibrahim, sangat sedih melihat jasad anaknya, tetapi bersyukur jasadnya ditemui dalam keadaan sempurna.
- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mengalami kesukaran disebabkan air sungai yang keruh dan kedalaman yang tidak sekata, tetapi akhirnya berjaya menemui jasad Aqil.
"Meskipun saya reda sekiranya hanya jasadnya sahaja ditemui... tetapi sebaik sahaja terlihat jenazah Aqil yang sudah kaku, saya tidak dapat menahan perasaan sedih yang teramat.
"Apapun, Alhamdulillah, Aqil selamat ditemui dalam tempoh 24 jam selepas dia hilang ketika mandi sungai bersama rakan-rakannya. Saya reda dan menganggap ini ujian untuk saya," katanya ketika ditemui di lokasi pencarian mangsa.

Jasad pelajar Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Teloi Kanan itu ditemui kira-kira pukul 1.31 tengah hari Selasa.
Katanya, dia bersyukur jasad anak bongsunya itu ditemui dalam keadaan sempurna dan dapat menatap wajah anaknya untuk kali terakhirnya.
Sementara itu, adiknya, Muhammad Anuar Ibrahim, 32, berkata, jasad anak saudaranya itu tiba-tiba timbul sebaik laungan azan zohor dari masjid berdekatan.
"Alhamdulillah, tiba-tiba sahaja jasad Aqil timbul setelah kedengaran azan zohor dan orang kampung yang melihat kejadian itu segera menghubungi anggota bomba yang berada di lokasi kejadian."
"Syukur Alhamdulillah, mungkin Allah hendak tunjuk kekuasaannya dan orang kampung melihat kejadian tersebut," katanya.
Sementara itu, Ketua Zon 3, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Rahimi Ali berkata, pihaknya mengalami kesukaran dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa disebabkan air sungai terlalu keruh.
Beliau berkata, selain itu, kedalaman sungai itu juga tidak sekata iaitu 0.5 meter hingga enam meter yang memberi kesukaran kepada anggotanya untuk mengendali bot di kawasan itu.
"Operasi SAR ini turut dibantu unit anjing pengesan K-9 JBPM bersama tiga anggota serta anjing K-9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta dibantu penduduk setempat.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md Ali berkata, jasad Muhammad Aqil telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk tindakan selanjutnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami