KUALA LUMPUR: Kandungan yang berbentuk patriotik perlu dirancakkan lagi menerusi semua platform media sosial, sempena meraikan Bulan Kebangsaan.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata pada masa ini, kandungan berunsur patriotik di media sosial terutama di aplikasi TikTok, dilihat masih kurang memberangsangkan.

"Perkara ini, terutama dalam kalangan anak muda mungkin perlu kita rancakkan. Mungkin di pihak Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) kita akan berhubung dengan beberapa pempengaruh.

"Ini supaya mereka juga mengambil peluang untuk menyatakan rasa cinta terhadap negara dan diharap boleh menjadi ikutan ramai anak muda lain, yang menggunakan aplikasi atau platform media sosial," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Wilayah Persekutuan dan Putrajaya di sini, semalam.

Bagaimanapun, Fahmi berkata secara fizikalnya kebanyakan tempat telah mula memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang, sekali gus memberi petanda luaran bahawa semangat patriotisme masih wujud ketika ini.

Terdahulu, Fahmi dalam ucapan perasmiannya berkata rakyat Malaysia sememangnya mempunyai jati diri yang tinggi dan penghayatan semangat patriotisme yang mendalam.

Beliau berkata saban tahun pelbagai idea kreatif dizahirkan masyarakat dalam meluahkan rasa cinta terhadap negara, serta dikongsi menerusi pelbagai platform terutamanya media sosial.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai pelbagai program yang dianjurkan sepanjang Bulan Kebangsaan dan maklumat lanjut boleh dilayari menerusi Portal Merdeka360 iaitu www.merdeka360.my atau Facebook, Instagram dan Twitter @Merdeka360.

Mengenai pelepasan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang semalam, Fahmi berkata konvoi itu akan menjelajah ke seluruh negara dengan membawa semangat kenegaraan dalam setiap derap langkah kesemua destinasi yang dituju.

"Besar harapan saya agar program ini menjadi lambang perpaduan dan persaudaraan dalam usaha menyuburkan semangat patriotik pelbagai lapisan masyarakat," katanya.

-- BERNAMA