DUNIA
Kapal hospital Libya mula belayar sertai flotila bantuan ke Gaza

Omar al-Mukhtar membawa khemah untuk rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal, ubat-ubatan, susu formula bayi serta pelbagai bekalan untuk semua peringkat umur di wilayah itu. - Foto Omar Al Mokhtar Flotilla/BERNAMA
TRIPOLI/ISTANBUL: Kapal Libya, Omar al-Mukhtar pada Ahad mula belayar untuk menyertai konvoi Global Sumud Flotilla yang bertujuan memecahkan sekatan Israel ke atas Semenanjung Gaza selepas dilengkapi dengan unit rawatan rapi bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan untuk kumpulan itu.
Ringkasan AI
- Kapal Libya Omar al-Mukhtar menyertai konvoi Global Sumud Flotilla menuju Gaza dengan membawa ubat-ubatan, khemah, susu bayi dan unit rawatan rapi untuk membantu rakyat Palestin.
- Kapal itu turut menempatkan aktivis antarabangsa termasuk bekas Perdana Menteri Libya, dengan sokongan moral kuat daripada rakyat Libya.
- Flotilla ini adalah usaha terbesar memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza sejak 18 tahun, walaupun Israel sebelum ini sering memintas dan merampas kapal yang cuba masuk.
Beliau menambah bahawa pihaknya juga telah memperuntukkan ruang untuk para aktivis daripada beberapa bot yang dianggap tidak sesuai untuk sampai ke Gaza.
Jurucakap itu berkata Omar al-Mukhtar membawa khemah untuk rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal, ubat-ubatan, susu formula bayi serta pelbagai bekalan untuk semua peringkat umur di wilayah itu.
"Sokongan awam dan moral yang kami terima daripada beberapa pihak di Libya adalah mesej kuat untuk menaikkan semangat kru kapal Omar al-Mukhtar," katanya lagi.
Antara tokoh terkemuka di atas kapal itu ialah bekas Perdana Menteri Libya Omar al-Hassi, bersama aktivis antarabangsa, kata jurucakap itu.
Pegawai perubatan kapal Omar al-Mukhtar, Abdel Rahman Humaid, memberitahu Anadolu bahawa mereka membawa pasukan kesihatan pengiring dan menyediakan unit rawatan rapi bagi memberi perkhidmatan perubatan kepada flotila antarabangsa itu.
"Kami melengkapkan kapal dengan peralatan dan ubat-ubatan, termasuk semua kelengkapan rawatan rapi yang diperlukan," kata Humaid.
Baru-baru ini, puluhan kapal belayar dari pelabuhan Afrika Utara dan Eropah menuju ke Gaza sebagai sebahagian daripada konvoi Global Sumud Flotilla bagi memecahkan sekatan Israel.
Pada 16 Sept, Jawatankuasa Antarabangsa untuk Memecahkan Sekatan Israel ke atas Gaza mengumumkan bahawa kapal-kapal flotila itu akan berkumpul berhampiran negara pulau Malta untuk belayar bersama merentasi Laut Mediterranean menuju ke perairan Gaza, tanpa menyatakan tarikh.
Ia merupakan usaha terbesar seumpamanya untuk sampai ke Gaza dengan 2.4 juta rakyat Palestin hidup di bawah sekatan Israel yang telah berlarutan selama 18 tahun.
Israel sebelum ini memintas kapal-kapal yang menuju ke Gaza, merampas kapal berkenaan dan mengusir mereka yang berada di atasnya.
Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini merumuskan bahawa Israel melakukan genosid di Gaza, yang telah meragut hampir 65,300 nyawa sejak Oktober 2023.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami