MALAYSIA
Pengecualian kontrak interim jururawat bantu isi 14,000 kekosongan jawatan - Dzulkefly

Dzulkefly berucap hadir menyempurnakan Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Zon Semenanjung di ILKKM Sultan Azlan Shah hari ini. -Foto Bernama
IPOH: Lantikan jururawat terlatih secara tetap dijangka membantu mengisi kira-kira 14,000 kekosongan jawatan itu di seluruh negara pada masa ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Ringkasan AI
- Kementerian Kesihatan akan lantik jururawat terlatih secara tetap bagi mengisi kira-kira 14,000 kekosongan jawatan, menggantikan sistem kontrak interim sebagai sebahagian daripada reformasi sektor kesihatan.
- Langkah ini bertujuan merapatkan nisbah jururawat kepada penduduk daripada 3.8 kepada sasaran WHO iaitu 6 jururawat bagi setiap 1,000 penduduk; pengambilan jururawat pelatih juga ditingkatkan kepada 3,000 orang setahun dengan peruntukan RM25 juta.
- ILKKM dijangka melahirkan 18,000 jururawat menjelang 2030, manakala pada tahun ini sahaja 6,316 siswazah kesihatan telah dilahirkan melalui pelbagai program diploma dan sijil.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Zon Semenanjung 2025 di sini hari ini.
Dzulkefly berkata langkah itu juga bertujuan merapatkan jurang nisbah jururawat kepada penduduk yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu sekurang-kurangnya enam jururawat bagi setiap 1,000 penduduk.
Pada masa ini, katanya statistik menunjukkan nisbah 3.8 jururawat bagi setiap 1,000 penduduk Malaysia.
Beliau berkata selain lantikan tetap, pengambilan jururawat pelatih juga telah ditingkatkan daripada 1,000 orang kepada 3,000 orang setahun, iaitu lonjakan 200 peratus dengan peruntukan khusus berjumlah RM25 juta.
Sementara itu, dalam ucaptamanya Dzulkefly berkata ILKKM diunjur melahirkan sebanyak 18,000 jururawat tambahan menjelang 2030.
Dalam pada itu, pada tahun ini sebanyak 6,316 siswazah kesihatan telah dilahirkan melalui 41 program peringkat Diploma Lanjutan/Pos Basik dan 13 program bagi peringkat Diploma/Sijil.
Sebanyak 586 graduan menerima skrol yang disampaikan oleh Dzulkefly pada sesi konvokesyen hari ini.
Buat julung-julung kalinya, graduan terbaik pada konvokesyen ini diraikan melalui pengiktirafan berprestij, iaitu Anugerah Cemerlang Akademik, Anugerah Cemerlang Kokorikulum, Anugerah Emas dan Anugerah Perdana.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami