MALAYSIA
Kapal layar karam di Pulau Yu, dua warga Turkiye dikhuatiri hilang

Dua warga Turkiye dikhuatiri hilang manakala seorang terselamat susulan insiden kapal layar karam di perairan Pulau Yu, pada Selasa lepas. - Gambar fail/hiasan
KUALA TERENGGANU: Dua warga Turkiye dikhuatiri hilang manakala seorang terselamat susulan insiden kapal layar karam di perairan Pulau Yu di sini, pada Selasa lepas.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata kapal layar Daisy dengan bendera negara Turkiye itu berlayar dari Pulau Tioman, Pahang menuju ke Pattani, Thailand namun dipukul ribut dan terbalik di sekitar 30 batu nautika dari perairan Pulau Yu.
Beliau berkata kejadian tersebut menyebabkan seorang kapten dan dua pelancong lelaki warganegara Turkiye jatuh ke laut.
"Dalam insiden tersebut seorang mangsa bernama Ates Demiroren telah dijumpai dan diselamatkan oleh kru kapal tunda tempatan selepas hanyut di laut selama 25 jam manakala kapten dan seorang lagi mangsa belum ditemui," katanya dalam kenyataan malam ini.Hamiludin berkata mangsa yang terselamat itu telah dibawa ke balai polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
Beliau menambah operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) mangsa telah diaktifkan pada 3 petang tadi dan Bot Peronda Perkasa 48 telah digerakkan ke lokasi untuk mencari mangsa.
Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau penemuan berkaitan kejadian berkenaan diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Terengganu di talian 013-7464357 yang beroperasi 24 jam, bagi membantu operasi Carilamat
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami