MALAYSIA
Kapal misi GSF berjaya masuki Zon Merah R2

Sistem Tracker Sumud Nusantara menunjukkan All In berjaya memasuki kawasan itu pada kira-kira 4.30 pagi waktu Malaysia diikuti kapal-kapal lain termasuk Mango, Ohwayla, Seulle, Mikeno, Meteque, Estrella Y Manuel dan Free Willy.
SEPANG: Kapal All In mendahului konvoi misi Global Sumud Flotilla (GSF) memasuki Zon Merah R2, menandakan jarak mereka ke pesisiran pantai Gaza kini berbaki kira-kira 66.6 batu nautika.
Sistem Tracker Sumud Nusantara menunjukkan All In berjaya memasuki kawasan itu pada kira-kira 4.30 pagi waktu Malaysia diikuti kapal-kapal lain termasuk Mango, Ohwayla, Seulle, Mikeno, Meteque, Estrella Y Manuel dan Free Willy.
Bagaimanapun, setakat 5.14 pagi waktu Malaysia, kesemua kapal mengeluarkan isyarat kecemasan (kuning) dipercayai telah diserang atau diprovokasi oleh tentera Israel dengan tembakan meriam air berdasarkan siaran langsung rakaman kamera litar tertutup.
Estrella Y Manuel, Mikeno dan Free Willy adalah antara kapal yang membawa rakyat Malaysia.Sementara itu, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, tentera Israel dilapor telah menggunakan pelbagai taktik bagi menghalang misi kemanusiaan GSF termasuk yang terbaharu iaitu melepaskan tembakan meriam air.
"Serangan dengan meriam air itu mula dilakukan hari ini selepas beberapa siri pintasan radar jammer dan penggunaan dron sebelum ini bagi menjejaki serta mengganggu pergerakan flotila," katanya.
Aktivis kemanusiaan yang berada dalam kapal terbabit turut berkongsi rakaman secara langsung bagi memaklumkan keadaan tegang apabila pasukan tentera Israel mengepung dan cuba melumpuhkan konvoi bantuan itu yang dalam perjalanan menghampiri pantai Gaza.
Sehingga kini, belum ada laporan mengenai kecederaan namun delegasi GSF menegaskan bahawa mereka tetap komited untuk meneruskan misi meskipun berdepan tindakan agresif pihak Israel.
Kemas kini setakat 5.26 pagi oleh SNCC menyaksikan seorang lagi rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF iaitu Zizi Kirana, yang menaiki Kapal Huga, gagal dihubungi.
Kapal Huga telah disahkan dipintas oleh rejim Zionis dan tiada isyarat SOS diterima.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami