GEORGE TOWN: Kapasiti tiga empangan utama di Pulau Pinang menurun berikutan jumlah taburan hujan rendah yang dicatatkan bagi tahun lepas, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) K.Pathmanathan.

Pathmanathan berkata PBAPP memohon kerjasama dan sokongan rakyat negeri itu untuk berjimat dalam penggunaan air serta menggunakannya dengan berhemat ketika musim kemarau yang berlaku setiap tahun.

"Sehingga semalam (1 hingga 11 Jan 2023), kapasiti efektif bagi Empangan Mengkuang adalah 87.2 peratus, Empangan Air Itam (84.7 peratus) dan Empangan Teluk Bahang (64.2 peratus).

"Jika dibandingkan kapasiti efektif bagi tempoh sama tahun lepas, Empangan Teluk Bahang menunjukkan 86.4 peratus, Empangan Air Itam 84.1 peratus manakala Empangan Mengkuang 92.8 peratus. Tahap optimum empangan adalah melebihi 90 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata faktor penyumbang kapasiti efektif empangan yang rendah terutama di Empangan Teluk Bahang disebabkan krisis bekalan air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, dekat sini dan gangguan air yang memerlukan PBAPP memaksimumkan pelepasan air mentah dari Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

Pathmanathan berkata hujan rendah di kawasan tadahan air empangan juga merupakan faktor kepada kurangnya kapasiti tadahan air dan berdasarkan rekod sejak September hingga Disember lepas jumlah taburan hujan yang direkodkan di Empangan Air Itam ialah 873.5 milimeter (mm).

"Empangan Mengkuang pula sebanyak 1,541mm manakala Empangan Teluk Bahang ialah 1,169mm," katanya.

Dalam pada itu, Pathmanathan berkata bagi memenuhi permintaan air semasa tempoh perayaan akhir tahun lepas dan Tahun Baharu Cina yang akan datang, PBAPP telah mengoptimumkan pengeluaran air terawat di LRA Sungai Dua selain mengepam lebih banyak air terawat ke bahagian pulau dan Seberang Perai.

"Bagi memenuhi permintaan bekalan air yang berkemungkinan besar meningkat pada musim perayaan dan cuti hujung minggu yang panjang, PBAPP bersedia untuk melepaskan lebih banyak air daripada Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang sambil memantau rapi paras air empangan untuk sebarang kejadian yang tidak diduga," katanya.

Menurutnya PBAPP juga tidak akan menjadualkan sebarang kerja paip (gangguan air berjadual) sehingga selepas Tahun Baharu Cina supaya pengguna dapat membersihkan kediaman tanpa gangguan.

"Bagaimanapun, ia tidak termasuk kerja-kerja pembaikan paip luar jangka atau kecemasan (tidak berjadual) yang perlu dijalankan," katanya.

-- BERNAMA