Pengerusi DAP, Karpal Singh mahu Pendaftar Pertubuhan (ROS) menghentikan pendedahan hasil siasatan yang sedang dijalankan terhadap parti itu sehingga semuanya selesai.

Beliau berkata, pendedahan itu tidak sepatutnya berlaku dan berharap ROS dapat menyelesaikan siasatan sebelum persidangan Dewan Rakyat pada 24 Jun ini.

"Kita sudah memberikan kerjasama kepada ROS dalam perkara ini, semua dokumen berkaitan telah kita hantar, jadi kita minta ROS agar berhenti dari dedahkan hasil siasatan dan segera selesaikan siasatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ketika diminta mengulas sekiranya DAP dibatalkan, Karpal menegaskan bahawa perkara itu tidak menjadi masalah memandangkan DAP boleh didaftarkan semula seperti yang dilakukan UMNO dahulu.

"Biarpun terpaksa menjadi parti bebas, semua ahli Parlimen DAP akan tetap menyandang jawatan itu dan kuasa di Pulau Pinang akan tetap seperti biasa kerana kita mempunyai sokongan PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam perkembangan lain, Karpal mengulangi ketegasannya terhadap bekas Naib Presiden DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim agar menghentikan kenyataan yang membidas kepimpinan DAP.