KUALA NERUS: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) melanjutkan tempoh representasi sehingga 19 Disember depan bagi lima syarikat pengeluar bekalan ayam yang didakwa terbabit dengan perjanjian antipersaingan atau dikenali perjanjian kartel.

Jelas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid, representasi itu untuk pihak terbabit mengemukakan bukti sekali gus menafikan kesalahan menaikkan kuantum harga makanan ternakan itu sebelum ini.

“Jadi kes kartel ayam ini MyCC beri mereka masa tambahan untuk kemukakan representasi sehingga 19 Disember depan.

“Ini membolehkan syarikat terbabit kemuka keterangan dan pihak MyCC akan menilai dan mengemukakan keputusan akhir sama ada terdapat pelanggaran atau sebaliknya di bawah Akta Persaingan 2010," katanya di sini, hari ini.

Jelasnya, aktiviti kartel boleh menyebabkan harga sesuatu barangan dimanipulasi oleh pemain-pemain industri yang besar yang membuat perjanjian untuk menentukan harga.

Bekalan sesuatu barangan juga boleh berkurangan serta boleh melumpuhkan perniagaan kecil lain.

Ia sekali gus akan menyebabkan ekosistem perniagaan tidak sihat, katanya.

Ogos lalu, MyCC mengesan lima syarikat pengeluar makanan ayam dipercayai melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 dengan menaikkan kuantum harga makanan ternakan berkenaan di negara ini.