KUALA LUMPUR:Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memaklumkan pihak berkuasa tidak menemui sebarang daging babi di lokasi kejadian berkaitan kes kartel daging import haram di Johor, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pegawai penyiasat dalam proses mengumpul bukti-bukti, mengambil keterangan dan rakaman percakapan saksi-saksi berkaitan kes berkenaan.

Jelas beliau, siasatan dilakukan di bawah Perenggan 8, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

"Kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya selepas siasatan selesai untuk tindakan selanjutnya. Tindakan awal kerajaan untuk menangani isu ini adalah dengan mengeluarkan arahan kepada pejabat KPDNHEP seluruh Negara pada 4 Disember 2020 untuk menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap peruncit, pemborong dan pengedar produk daging sejuk beku," tambahnya.

BACA: Taktik kartel seludup daging beku, guna cap halal palsu terbongkar

"Pemeriksaan dijalankan secara bersepadu dengan agensi lain khususnya dengan pegawai-pegawai daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri," katanya di Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.

BACA: Import daging hanya dari rumah sembelih diluluskan veterinar - Jakim

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik-Pas) yang meminta kementerian menyatakan perkembangan siasatan dan langkah tegas kerajaan dalam menangani kes kartel daging import haram yang turut memproses daging babi di Senai, Johor baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Alexander, sejumlah 128 premis telah diperiksa setakat 4 hingga 6 Disember lalu.

Tegas beliau, kementerian tidak akan berkompromi terhadap peniaga yang cuba mengambil kesempatan menggunakan perbahasan halal secara palsu.

"Mana-mana orang yang memperakui bahawa mana-mana makanan, barang-barang atau perkhidmatan yang berhubung dengan makanan atau barang-barang itu adalah halal, yang bertentangan dengan Perintah ini.

"Jika disabit kesalahan, syarikat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000.00 dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM500,000.00.

"Siasatan lanjut juga akan dijalankan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 sekiranya didapati bahawa sumber produk tersebut adalah diperolehi daripada sumber atau daging yang tidak halal," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kementerian turut bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam isu melibatkan pengimportan produk daging sejuk beku.