KUALA LUMPUR: Tiga pengendali Ro-Ro utama di Langkawi bersama dua perusahaan berkaitan didenda RM2.2 juta oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kerana membentuk kartel penetapan harga.

Denda itu dikenakan berhubung kenaikan tambang pengangkutan kenderaan melalui kapal Ro-Ro di antara Langkawi dan Kuala Perlis dan sebaliknya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Iskandar Ismail berkata, tiga pengendali Ro-Ro utama tersebut adalah Langkawi Auto Express Sdn. Bhd.; Langkawi Ro-Ro Ferry Services Sdn. Bhd. dan Dibuk Cargo Services Sdn. Bhd.

Dua lagi perusahaan berkaitan yang turut dipertanggungjawabkan atas pelanggaran yang sama ialah Dibuk Sdn. Bhd. dan Langkawi Ferry Services Sdn. Bhd.

"Hasil siasatan MyCC mendapati tiga pengendali Ro-Ro utama bersama dua perusahaan tersebut telah terlibat dalam perbincangan tertutup untuk menaikkan dan menetapkan tambang bagi kenderaan komersial serta kenderaan persendirian yang menggunakan kapal Ro-Ro milik kesemua perusahaan tersebut.

"Tindakan tersebut telah membawa kepada pembentukan kartel penetapan harga melalui dua Memorandum Persefahaman (MoU) bermula dari tahun 2018 hingga 2019," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Kadar tambang yang dikenakan pengendali Ro-Ro apabila mereka menjalinkan MoU. - Foto MyCC

Pada 14 September 2020, pihaknya telah mengeluarkan Keputusan Cadangan kepada lima perusahaan tersebut dan kesemua perusahaan telah membuat representasi kepada MyCC di antara bulan Disember 2020 dan April 2021.

Selepas mempertimbangkan semua bukti termasuk representasi mereka yang terlibat, MyCC telah mendapati bahawa kelima-lima perusahaan tersebut telah melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.

"Kos sara hidup di Langkawi telah meningkat dalam beberapa aspek berikutan aktiviti kartel ini lama sebelum bermulanya pandemik.

"Daripada laporan KPDNHEP yang diperolehi oleh MyCC, kenaikan tersebut jelas menunjukkan bahawa kenaikan harga barang yang datang dari Semenanjung adalah ketara selepas termeterainya MoU untuk tahun 2019," jelasnya.

Modus operandi yang dilakukan kartel Ro-Ro di Langkawi. - Foto MyCC

Beliau dalam masa sama memberi amaran bahawa MyCC tidak akan bertoleransi dengan aktiviti kartel kerana ia  merupakan pelanggaran yang amat serius di dalam undang-undang persaingan.

"Kami tidak akan melepaskan mana-mana pihak yang didapati terlibat dengan kartel.

"Perlakuan sabotaj ekonomi ini sudah pasti akan memburukkan lagi keadaan rakyat yang terjejas jika ianya berterusan.

"Kami berharap perusahaan-perusahaan yang terlibat serta perusahaan-perusahaan lain di luar sana mengambil iktibar daripada kes ini," tegasnya.