PAPAR: Penalti sebanyak RM415 juta dikenakan terhadap lima syarikat pengisar makanan ayam oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) perlu dijadikan sebagai peringatan kepada pemain industri di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, MyCC sebuah agensi khusus di bawah KPDN yang dipertanggungjawabkan untuk menguatkuasakan Akta Persaingan 2010 bagi mengekang kewujudan kartel dalam bentuk pakatan harga, pasaran, pengeluaran dan tipuan bidaan dalam pasaran.

"Saya fikir ini satu kes terbesar sejak MyCC ditubuhkan pada 2011 iaitu penalti yang melibatkan lima syarikat dengan nilai RM415 juta.

"Ia melibatkan unsur pakatan harga untuk menaikkan harga ayam yang sekali gus menaikkan harga bekalan ayam di pasaran kerana 72 peratus kos pengeluaran ayam adalah melibatkan kos makanan.

"Jadi saya harapkan dengan adanya kes ini boleh dijadikan peringatan kepada industri supaya menjunjung etika dalam berniaga dan bersama-sama kita tegakkan serta mewujudkan persaingan yang sihat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan trek larian getah sintetik padang Pekan Papar di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung tindakan penalti yang dikenakan terhadap lima syarikat selepas didedahkan MyCC pada Jumaat.

Ditanya adakah syarikat tersebut melibatkan campur tangan daripada orang politik, beliau menegaskan bahawa banyak pihak penguat kuasa terlibat bagi mengesan dan memantau aktiviti kartel dalam industri.

"Kartel ini dalam kalangan industri, siapa di belakang orang industri itu kita tidak tahu. Tanggungjawab kita adalah mewujudkan tatakelola yang baik.

"Banyak akta yang terlibat termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melibatkan salah guna, rasuah dan pengubahan wang haram (AMLA) dan untuk MyCC khusus untuk kuatkuasakan Akta Persaingan 2010 (Akta 712)," jelasnya.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar melihat bahawa peranan MyCC akan jauh lebih penting pada tahun hadapan kerana ia turut berkait rapat dengan kos sara hidup rakyat.

"Ini kerana terdapat dua faktor, iaitu yang pertama akan dilaksanakan penyasaran semula subsidi, maksudnya barang-barang keperluan rakyat akan diapungkan tanpa subsidi maka ia bergantung kepada pasaran.

"Jadi risiko wujudnya kartel-kartel dalam kalangan industri yang berpakat bersama-sama menaikkan harga dan berpakat dari segi pasaran pengeluarannya menyebabkan risiko kartel itu lebih meningkat

"Kedua pula, kerajaan ketika ini fokus kepada usaha memperbanyakkan tender terbuka walaupun ia merupakan satu kaedah perolehan yang bagus namun tender terbuka juga berhadapan risiko tipuan bidaan.

"Maksudnya apabila syarikat-syarikat ini berpakat masuk dengan harga tertentu, jadi mereka boleh mempengaruhi apabila penilaian tender dibuat kumpulan yang sama dalam senarai itu," katanya.

Sehubungan itu, pada tahun hadapan MyCC akan memberi fokus untuk memastikan dasar kerajaan sama ada subsidi bersasar atau tender terbuka ini dapat berjalan dengan baik.

"Kita akan mempertingkatkan penguatkuasaan pada tahun depan berfokus kepada tiga perkara iaitu sektor pertanian, makanan dan tipuan bidaan ini.

"Ini adalah bagi memastikan wujudnya persaingan yang sihat dan pastikan proses persaingan digalakkan dan dikawal dengan sebaiknya," katanya. - Sinar Harian