KUANTAN: Tindakan lima syarikat pengisar makanan ayam yang membentuk kartel penetapan harga ayam merupakan perbuatan pengkhianatan peringkat paling tinggi kepada negara dan undang-undang persaingan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata tindakan syarikat berkenaan menyebabkan harga ayam sukar dikawal selain kerajaan telah mengeluarkan subsidi besar bagi menampung subsidi ayam di peringkat pengeluaran.

"Kerajaan telah mengeluarkan subsidi berjumlah RM3.8 bilion bagi menampung kos ayam dan telur dari Februari 2022 hingga November lepas dan 72.8 peratus kos pengeluaran ayam adalah kos harga makanan.

"Bila berlaku kartel untuk mengawal harga makanan ayam, sukar untuk kita mengawal harga ayam pada kadar ditetapkan RM9.40 sekilogram. Pengusaha (ayam) sukar mendapatkan harga makanan lebih murah kerana lima syarikat ini terlibat dalam 40 peratus pengeluaran makanan ayam.

"Itu yang menyebabkan kita menerima banyak aduan kerana ada peniaga yang mengambil upah potong memandangkan harga ayam yang dibekalkan tidak boleh membuat keuntungan," katanya pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2023 di sebuah pasa raya di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam.

Tindakan kartel itu, menurut Fuziah secara tidak langsung 'mengaut keuntungan' daripada rakyat kerana dapatan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan rakyat Malaysia mengambil sekitar 48 kilogram daging ayam setahun.

Beliau juga optimis harga barangan boleh dikawal jika aktiviti kartel dapat dibanteras dan Kerajaan Perpaduan komited untuk menghentikan amalan itu menerusi peruntukan RM10 juta kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam Belanjawan 2024.

Semalam, media melaporkan MyCC mengenakan penaliti berjumlah RM415.5 juta kepada syarikat terbabit kerana didapati melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) melalui pembentukan kartel itu.

Syarikat itu ialah Leong Hup Feedmill (M) Sdn Bhd (Leong Hup), FFM Berhad (FFM), Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd (Gold Coin), Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (Dindings) dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd (PK Agro).

Siasatan MyCC dari Januari 2020 hingga Mac 2022 mendedahkan bukti kenaikan kuantum harga makanan ayam yang serupa antara perusahaan-perusahaan terbabit antara Januari 2020 hingga Jun 2022 selain mendapati lima perusahaan itu menggunakan strategi dengan menyatakan kenaikan kos makanan ayam
disebabkan peningkatan perbelanjaan bahan mentah.

Sementara itu, mengulas mengenai SHMMP, Fuziah berkata aduan paling banyak diterima menerusi pelaksanaan skim bagi perayaan yang telah berlangsung ialah pada sambutan Tahun Baharu Cina dengan 116 kes, Aidilfitri (60 kes), Pesta Gawai (18 kes), Deepavali (lima kes) dan satu kes bagi Pesta Keaamatan.

Kesalahan paling banyak, kata Fuziah ialah kegagalan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.

-- BERNAMA