MALAYSIA
Kartel PDRM: Hamzah arah KPN sediakan laporan penuh, elak kekeliruan

"Saya tidak mahu perkara yang samar seperti ini, (ia telah) menimbulkan perasaan dan persepsi yang kurang baik," kata Hamzah. - Foto Fail Astro AWANI / SHAHIR OMAR
IPOH: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador diminta memberi laporan penuh dakwaannya mengenai kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan gerakan dalaman pegawai muda pasukan itu yang mahu menjatuhkan beliau.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, beliau telah menghantar mesej itu kepada Abdul Hamid pada Khamis.
"Saya nyatakan kepada beliau yang saya mahukan laporan penuh supaya apa-apa perkara selepas ini kita boleh maklumkan kepada rakyat dengan lebih jelas.
"Saya tidak mahu perkara yang samar seperti ini, (ia telah) menimbulkan perasaan dan persepsi yang kurang baik.
"Disebabkan itu saya telah meminta beliau untuk laporkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP)," katanya di sini.
Beliau ditemui media selepas menghadiri Pogram Malaysia Prihatin Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata pendedahan yang dibuat Abdul Hamid kepada umum itu tidak pernah dinyatakan kepada beliau sebelum ini.
Pada Rabu, Abdul Hamid menerusi program 'Sinar Live bersama IGP' mendakwa wujud gerakan dalam kalangan pegawai muda PDRM yang bercita-cita untuk menjatuhkannya.
Abdul Hamid mendakwa gerakan itu juga merupakan kumpulan sama yang mendalangi kartel dalam PDRM dengan hasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.
Ditanya mengenai prestasi Abdul Hamid sebagai Ketua Polis Negara, Hamzah berkata beliau gembira dengan perkhidmatan Abdul Hamid setakat ini.
Abdul Hamid dilantik sebagai Ketua Polis Negara secara kontrak selepas bersara bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 4 Mei 2019 hingga 3 Mei 2021.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami