PUTRAJAYA: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) di peringkat akhir penubuhan Jabatan Air Negara yang akan menggabungkan tiga jabatan sedia ada di bawah kementerian itu.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia melibatkan gabungan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Bahagian Bekalan Air (BBA) dan Jabatan Pembentungan.

Selain itu, beliau berkata, kementerian tersebut juga dalam proses mewujudkan Syarikat Air Negara sebagai syarikat induk utiliti air yang akan berfungsi seperti syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Secara asasnya kita sudah bergerak ke arah masa depan untuk kita mewujudkan Syarikat Air Negara manakala Jabatan Air Negara sudah berada di peringkat akhir untuk kita siapkan.

"Kami lihat bahawa perlunya satu syarikat untuk menjadi payung kepada semua dan sumber air masih di bawah kerajaan Negeri dan perkara itu kita hormat.

"Tetapi bagaimana air boleh menjana pendapatan bagi negeri dan bagaimana syarikat-syarikat ini boleh menguruskan? Misalnya, kita ambil pengalaman contoh TNB.

"Kita tahu paip air dalam tempoh 40 tahun kena tukar dan apa persediaan kita ke arah dana ganti paip-paip yang sedia ada ini," katanya dalam sidang media sempena Sambutan Ulang Tahun Pertama KASA, di sini hari ini.

BACA: KASA akan bangunkan sistem Grid Air Kebangsaan, jana pendapatan kepada kerajaan negeri

Hadir sama Timbalan Menteri, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad dan Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

Menurut beliau, langkah tersebut mampu memperkasa institusi sektor air negara dalam menjamin kelestarian sumber bekalan asas berkenaan kepada rakyat.

Dalam perkembangan sama, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya optimis bahawa pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 akan mendapat persetujuan semua pihak menjelang sidang Parlimen akan datang.

"Semua pihak mengalu-alukan kita lakukan penguatkuasaan yang lebih tegas, undang-undang yang keras serta hukuman yang lebih tinggi.

"Contohnya apabila berlaku pencemaran air, loji air terpaksa tutup dan rakyat menanggung akibatnya. Syarikat air terpaksa hantar lori dan ia dihantar secara percuma dan perlu tanggung ribuan ringgit setiap hari. Jadi, siapa nak tanggung kos?

"Pencemar (alam sekitar) hanya buat pencemaran dan mereka tinggal. Saya yakin tiada pihak yang akan membangkang dan mengalu-alu pindaan yang kita buat," jelasnya.