BUTTERWORTH: Program Kasih MADANI yang memberikan latihan dan pengiktirafan kepada pengasuh di rumah perlu diperluas bagi memastikan lebih ramai wanita bekerja mendapat sokongan dalam aspek penjagaan serta keselamatan anak-anak.
Ahli Parlimen Nibong Tebal Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata beliau akan mengemukakan cadangan supaya program tersebut dimasukkan dalam Belanjawan 2027.
Beliau berkata apabila program itu dimasukkan dalam belanjawan, lebih ramai pengasuh boleh menerima latihan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan penjagaan kanak-kanak sekali gus memperkukuh ekosistem asuhan kanak-kanak di rumah.
Pengiktirafan kepada pengasuh menerusi latihan Kasih MADANI adalah langkah penting dalam meningkatkan martabat profesion tersebut, katanya selepas merasmikan Gala Pesona Kasih MADANI di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Program Merdeka Center Ibrahim Suffian dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby Dr Yatela Zainal Abidin.
Fadhlina berkata pengasuh yang menerima tauliah Kasih MADANI seharusnya berasa bangga kerana peranan itu secara langsung menyokong wanita bekerja dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Beliau berkata inisiatif itu amat dekat dengan dirinya susulan pengalaman sebagai ibu kepada enam anak yang pernah menghadapi cabaran mendapatkan pengasuh ketika bekerja sebagai peguam.
Tiga daripada enam anaknya pernah dihantar kepada pengasuh, malah anak kedua pernah menjadi mangsa penderaan oleh pengasuh sehingga beliau dibelenggu rasa bersalah dan trauma, katanya.
“Itulah pengalaman yang kemudiannya membuatkan saya berpandangan pengasuh mesti mempunyai satu komitmen...dan juga tanggungjawab dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata dirinya turut melalui pengalaman pahit apabila anak keempatnya meninggal dunia akibat Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS), yang menyebabkan beliau menghadapi dilema sama ada meneruskan kerjaya atau menumpukan sepenuhnya kepada anak-anak.
Bagaimanapun, sokongan keluarga besar termasuk daripada adik-beradik banyak membantu dalam memastikan anak-anak mendapat penjagaan sewajarnya ketika beliau bekerja, katanya.
Fadhlina berkata perlindungan kanak-kanak tidak seharusnya terhenti di peringkat pengasuhan, sebaliknya perlu diteruskan apabila mereka memasuki alam persekolahan dengan pelaksanaan dasar perlindungan kanak-kanak yang menyeluruh.
“Sebab itu di peringkat KPM (Kementerian Pendidikan) kita teruskan dengan Dasar Perlindungan Kanak-kanak di peringkat sekolah. Jadi, semua orang ada tanggungjawab, daripada peringkat anak-anak di bawah jagaan pengasuh sehingga ke sekolah. Semua terlibat dengan perlindungan kanak-kanak,” katanya.
Lebih 1,000 pengasuh di Kuala Lumpur, Perak, Kedah dan Pulau Pinang telah mendapat manfaat menerusi inisiatif Kasih MADANI sejak dilancarkan pada Ogos tahun lepas.
Mereka diberikan pengetahuan, kemahiran serta sokongan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pengasuhan.
Kasih MADANI, diuruskan oleh Merdeka Center dengan sokongan Kementerian Kewangan melalui Yayasan Sime Darby, merupakan inisiatif yang digerakkan selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperkukuh ekosistem penjagaan kanak-kanak di Malaysia melalui pemerkasaan pengasuh di rumah dan komuniti.
-- BERNAMA