SHAH ALAM: Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim mendakwa, sindiket pemerdagangan manusia di rantau Asia Tenggara dipercayai dijalankan oleh kasino di Kemboja yang muflis ketika pandemik COVID-19 lalu.

Menurut beliau, kegiatan sindiket itu pada mulanya berpusat di negara berkenaan dan Laos sebelum beralih ke Myanmar selepas dibanteras pihak berkuasa.

Jelasnya, kemelut politik di republik tersebut menjadikan kegiatan lebih selesa dan sukar untuk diganggu kerana mereka juga dikatakan mendapat kerjasama daripada penduduk setempat di sana.

“Di Myanmar sekarang, pemerintahan mereka adalah junta, jadi struktur pentadbiran mereka tidak sama seperti di Malaysia, setiap kawasan ada tentera dan polis tersendiri yang dikawal oleh majlis tempatan.

“Kedutaan kita di sana cuba menggunakan khidmat tentera dari Yangon, tetapi mereka tak dapat masuk memandangkan kawalan tentera yang berbeza,” katanya dalam program bual bicara santai What's Up Netizen: 'Neraka' menunggu di Myanmar’ yang dihoskan Muhammad Amirul Amin Abdul Rahim pada Selasa.

Turut diundang dalam program tersebut adalah wartawan Sinar Harian yang terlibat dalam misi menyelamat mangsa pemerdagangan di Myanmar, Mukhriz Mat Husin.

Dalam pada itu, Hishamuddin mendedahkan, mangsa pemerdagangan yang mempunyai kepakaran yang tinggi dari segi komunikasi hampir mustahil untuk dilepaskan sindiket berbanding yang kurang berpengalaman.

Ujarnya, ia kerana mereka mampu mendatangkan keuntungan yang lebih lumayan kepada produktiviti kegiatan itu.

“Yang banyak dilepaskan ketika ini adalah mereka yang kurang berkemahiran, kalau yang pandai sangat itu, ibu bapa mereka tawar RM150,000 pun, sindiket tidak mahu lepaskan mereka,” kata beliau. -Sinar Harian