Kastam gagalkan cubaan seludup lebih satu tan dadah bernilai hampir RM100 juta

JKDM menumpaskan empat cubaan menyeludup dadah jenis bunga ganja seberat lebih 1,000kg dalam operasi di sekitar Lembah Klang dan KLIA1 baru-baru ini. - Foto JKDM
PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan empat cubaan menyeludup dadah jenis bunga ganja seberat lebih 1,000 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM98 juta dalam operasi berasingan di sekitar Lembah Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 baru-baru ini.
Ringkasan AI
- JKDM rampas lebih 1,000 kg ganja bernilai RM98 juta dalam empat cubaan penyeludupan ke luar negara melalui KLIA dan gudang logistik di Lembah Klang.
- Lima lelaki tempatan ditahan untuk siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952; sindiket guna modus operandi sembunyi dadah dalam kotak berlabel tuala premium.
- JKDM perkukuh kawalan di pintu masuk utama negara bagi membanteras penyeludupan melalui saluran logistik dan kurier antarabangsa.
"Empat kes ini membabitkan cubaan menyeludup keluar dadah jenis bunga ganja ke luar negara, khususnya ke pasaran Eropah menggunakan pelbagai taktik termasuk penyamaran sebagai barangan dagangan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kes pertama pada 1 Okt lepas, seorang lelaki tempatan ditahan di KLIA Terminal 1 selepas disenarai hitam kerana tunggakan duti dan cukai yang membawa kepada pemeriksaan terhadap bagasi hingga menemukan 21.04 kg bunga ganja bernilai kira-kira RM2.06 juta.
"Suspek ini telah didakwa di mahkamah baru-baru ini," katanya.
Zulkifli berkata bagi kes kedua pada 27 Sept, rampasan dilakukan di pintu masuk eksport KLIA selepas pasukan penguat kuasa mengesan 21 bungkusan dadah seberat 220.32 kg bernilai RM21.59 juta dalam sebuah lori kurier yang dalam perjalanan memasuki Zon Bebas KLIA untuk dieksport ke sebuah negara Eropah.
Dalam kes ketiga pada 29 dan 30 Sept, beliau berkata serbuan di dua gudang logistik di Shah Alam dan Subang Jaya berjaya menemukan 52 kotak bungkusan dadah daripada empat konsainan berbeza dengan berat keseluruhan 464.58 kg dan nilai dianggarkan RM45.53 juta.
Zulkifli berkata kes keempat pada 3 Okt pula menyaksikan rampasan 294.35 kg bunga ganja bernilai RM28.85 juta di pintu masuk eksport Zon Bebas KLIA, juga menggunakan lori kurier bagi membawa keluar 28 bungkusan dagangan ke luar negara.
Menurut beliau, bagi kes kedua hingga keempat, sindiket dipercayai menggunakan modus operandi dengan menyembunyikan dadah dalam kotak berlabel jenama tuala premium yang dibungkus dengan plastik kedap udara bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
"Empat lelaki termasuk pemandu lori kurier serta pemilik gudang logistik ditahan bagi membantu siasatan dalam tiga kes berkenaan," katanya.
Zulkifli berkata JKDM akan terus memperkukuh kawalan di semua pintu masuk utama negara bagi membanteras cubaan penyeludupan menggunakan saluran logistik dan kurier antarabangsa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami